Monday, August 30, 2010

Bela prihatin nasib pemilik kereta lama



KUALA LUMPUR - Gerakan Bela Rakyat (Bela) terus memperjuangkan nasib pemilik kenderaan berusia lebih 10 tahun yang mengalami kesulitan membayar dan mendapatkan perlindungan insurans dengan menubuhkan Sekretariat Bela Peringkat Nasional.

Pengerusinya, Salahuddin Ayub berkata, penubuhan sekretariat diketuai Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kayat adalah untuk bertindak lebih serius, membuat persiapan rapi dan mengumpul lebih banyak maklumat daripada semua pihak berhubung perkara ini. 

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, Bela dilancarkan tiga minggu lalu telah mendapat perhatian dan maklum balas positif daripada rakyat yang menghadapi masalah berkenaan. 

“Ini membuktikan betapa seriusnya kita menghadapi isu ini kerana isu melibatkan pemilikan kereta 10 tahun ke atas adalah isu rakyat yang memerlukan kepada satu pembelaan sewajarnya,” katanya pada sidang media Penubuhan Sekretariat Bela Peringkat Nasional & Agenda Bertindak Bela, di sini. 

Salahuddin berkata, kerajaan dan Bank Negara perlu memperbaiki sistem sedia dengan membenarkan semua syarikat insurans mengeluarkan polisi mereka dan menetapkan kadar atau premium munasabah yang mampu dimiliki oleh rakyat di negara ini. 

“Kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk memudahkan pemilik kenderaan ini memperoleh perlindungan insurans,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, Suhaizan akan menghantar memorandum kepada Bank Negara dalam tempoh terdekat bagi memberikan cadangan terbaik supaya perkara ini diselesaikan secepat mungkin. 

No comments:

Post a Comment