GEORGETOWN - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bercadang mengadakan pertemuan dengan Pemuda Pas dan Gerakan berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik. Beliau berkata, ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan terbaik daripada pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu diputuskan. “Kementerian Pengajian Tinggi tetap akan meneruskan perbincangan mengenai cadangan membenarkan pelajar IPT menganggotai parti politik berikutan sikap terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara ini. Ini menunjukkan ia masih boleh dibincangkan sama ada setuju atau tidak dan saya lihat kita harus berfikiran terbuka mengenainya," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan ‘DiGi Youth Jam’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan, di sini semalam. Kelmarin, Najib dikatakan masih terbuka untuk membincangkan cadangan membenarkan pelajar IPT menganggotai parti politik walaupun Kabinet sudah membuat keputusan melarangnya. Katanya, banyak faedah sekiranya pelajar IPT dibenarkan menyertai parti politik antaranya dapat mematangkan sistem demokrasi selain dapat memberikan hak kepada pelajar melibatkan diri dalam politik. "Kumpulan pelajar yang berminat dengan politik sangat kecil, walaupun begitu hak mereka tetap tidak boleh dinafikan untuk sertai politik, kita harus fahami matlamat cadangan itu dan lambat laun perkara ini akan menjadi kenyataan,” katanya. Menurutnya, masyarakat perlu memahami matlamat cadangan ini dan ia memerlukan sedikit masa. Jika perkara itu direalisasikan, diharap tidak berlaku kekacauan dalam kampus seperti yang didakwa. “Masyarakat memerlukan masa untuk memahami matlamat cadangan ini dan saya sudah membuat analisa secara ilmiah serta menjawab setiap soalan yang diajukan berhubung isu ini,” katanya. Beliau turut meminta masyarakat supaya tidak mengkritik cara generasi muda hari ini menyambut kemerdekaan dan memahami pengertian patriotisme dalam situasi berbeza. Menurutnya, apa yang perlu adalah menghargai cara generasi muda dalam mengekspresikan pengertian patriotisme. |
Monday, August 30, 2010
Saifuddin jumpa Pemuda Pas, Gerakan isu mahasiswa berpolitik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment