Monday, August 30, 2010

Kaji semula sistem penyerahan netbook



BANDAR JERANTUT – Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dilihat perlu mengkaji sistem pemberian dan pengagihan komputer riba Netbook 1Malaysia kepada golongan sasaran dengan lebih baik lagi kelak. 

Terbaru, pengagihan Netbook 1 Malaysia bagi Parlimen Jerantut mencetuskan rasa tidak puas hati kalangan penduduk, dipercayai tidak sampai kepada golongan sasaran sebenarnya yang layak diterima, selain sistem pengagihan yang tidak cekap. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, beliau sendiri menerima rungutan ramai mengenai cara pengagihan yang dilihat tidak sampai ke sasaran sebenar ditambah kaedah pengagihan tidak sistematik menimbulkan masalah serta keraguan. 

Menurutnya, 10 sekolah menengah di daerah ini telah menyenaraikan sejumlah 1,600 pelajar untuk menerima netbook berkenaan, dengan penyerahan kemudahan itu dilakukan di Dewan Majlis Daerah baru-baru ini. 

“Seharusnya, penerima netbook adalah daripada keluarga berpendapatan di bawah RM3,000, dengan kemudahan diberi untuk meningkatkan lagi prestasi akademik menerusi Internet. 

“Tidak ketinggalan, kemudahan kerajaan ini juga seharusnya diberi secara adil kepada satu netbook bagi sebuah keluarga, dan bukan sebaliknya seperti yang terjadi apabila terdapat lebih dari dua netbook diberikan pada adik beradik bersekolah pada satu masa dalam sebuah keluarga,” katanya ketika ditemui di sini. 

Lau Lee berkata, kekeliruan dengan kejadian lebihan netbook bagi sebuah keluarga seharusnya tidak berlaku dengan keadaan itu tidak adil kepada keluarga lain yang mempunyai anak ramai dan memerlukan kemudahan yang sama. 

Menurutnya, SKMM seharusnya perlu meneliti penerima bantuan netbook itu dan bagi yang tidak menepati keperluan peserta yang seharus tidak diberikan. 

“Ada rungutan orang ramai menyalahkan pihak sekolah, sebenarnya pihak sekolah tidak tahu menahu mengenai pemilihan penerima, kerana terdapat pelajar yang sudah tidak hadir ke sekolah hampir setengah tahun , pelajar yang digantung persekolahan atas sebab disiplin turut menerima. 

“Saya dimaklumkan senarai nama pelajar diterima oleh pihak SKMM daripada pengkalan data pelajar tanpa menghiraukan apa yang berlaku sebaliknya,” katanya. 

Beliau berkata, dicadangkan SKMM perlu melakukan semakan semula daripada pihak sekolah sebelum menyampaikan sumbangan itu kerana data yang SKMM terima adalah mungkin dikemaskini pada awal tahun 2010. 

“Pihak sekolah lebih arif mengenai pelajar mereka yang betul-betul layak dan berpotensi dalam akademik, serta netbook tersebut boleh diberi satu keluarga satu komputer tanpa melanggar peraturan yang telah ditetapkan dan sudah tentu ia adalah terbaik untuk semua,” katanya.

No comments:

Post a Comment