Monday, August 30, 2010

Namewee berdepan hukuman



KUALA LUMPUR - Perbuatan menghasilkan video yang membangkitkan sentimen perkauman perlu dikenakan tindakan tegas supaya ia tidak menjadi amalan di kalangan rakyat negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. 

Beliau berkata perbuatan seperti itu boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyalahi seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Perbuatan seperti itu, katanya, tidak harus dilihat semata-mata sebagai kebiasaan, malah ia sangat menyedihkan kerana setelah sekian lama berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan membina negara, sepatutnya masyarakat negara ini menjadi lebih matang. 

“Apalah seronoknya bagi kita, misalnya memperkecil-kecilkan lagu Negaraku, mengubah seni katanya, menconteng wajah Yang di-Pertuan Agong atau membuat video seperti itu. 

“Ini jelas merendahkan lagi martabat kita sebagai satu negara dan satu bangsa di bawah gagasan 1Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai Namewee yang mengulangi perbuatan yang dianggap biadab dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman. 

Namewee, seorang pemuda dari Muar, Johor sepertimana yang disiarkan dalam laman web YouTube, membuat klip berbaur perkauman dengan merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman, antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar. 

Rais berkata dalam hal ini, kementeriannya berharap Peguam Negara bertindak lebih tangkas bagi membendung perkara-perkara yang berunsur perkauman daripada terus berlaku. 

Rais berkata, pihaknya menyerah kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak penguatkuasaan sama ada tindakan undang-undang layak diambil. 

“Kalau di Britain orang tak conteng muka the Queen... kenapa kita di Malaysia suka sangat buat perkara seperti ini. Jadi, untuk mencegahnya undang-undang harus tegas,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment