Monday, August 30, 2010

Isu siswa berpolitik dibincang dengan Pas, Gerakan



PULAU PINANG 29 Ogos - Perbincangan mengenai cadangan supaya mahasiswa dibenarkan aktif berpolitik akan diteruskan dengan pelbagai pihak termasuk parti-parti politik.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sendiri akan bertemu Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan dan Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin minggu depan untuk tujuan itu.
Selain parti politik, jelas beliau, kementerian juga akan berbincang dengan beberapa kumpulan pelajar dan bekas pelajar bagi mendengar pandangan masing-masing seterusnya dapat memberi kebaikan kepada semua pihak.
"Saya harap semua pihak yang setuju atau tidak, boleh terus berbincang bagi mencari pendapat terbaik untuk kebaikan bersama.
"Saya fikir perbincangan sebegini memang baik, kita harus lapang dada dan bersikap terbuka," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Youth Jam anjuran DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Semalam, Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih bersikap terbuka membincangkan cadangan penglibatan mahasiswa dalam politik kepartian walaupun Kabinet telah memutuskan untuk melarangnya sebelum ini.
Katanya, ini kerana Perdana Menteri menyifatkan suasana politik semasa mementingkan perbincangan idea dan bukannya berteraskan siapa berkuasa.
Menurut Saifuddin, ramai ahli masyarakat belum memahami dan memerlukan masa untuk menyakinkan mereka kenapa cadangan tersebut wajar dilaksanakan.
"Namun, lambat-laun saya yakin ia akan menjadi realiti dan ia sama sekali tidak akan menghuruharakan suasana kampus.
"Sebagai contoh, banyak universiti di luar negara membenarkan pelajarnya berpolitik," ujarnya.

No comments:

Post a Comment