Monday, August 30, 2010

“Tiada krisis”


KUALA LUMPUR - Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menafikan dakwaan mengatakan hubungan beliau dan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra dilanda krisis berikutan beberapa isu kebelakangan ini. 

Katanya, hubungan beliau dengan Tengku Mah- kota amat baik tanpa wujud sebarang masalah seperti mana yang digambarkan media dan laman Internet seolah-olah mereka dua beradik 'bermasam muka'. 

"Saya pun pelik kenapa cerita ini muncul, mungkin orang suka buat cerita yang tak elok ini. Langsung tidak pernah terfikir saya hal ini. Biasalah mulut orang, mana boleh kita menghalang apa yang nak diperkatakan," katanya selepas berbuka puasa bersama :Sinar Harian:, kelmarin. 

Antara pertelingkahan yang membabitkan kedua-dua beradik itu ialah pemilikan kereta Bentley Brooklands bernilai RM1.6 juta, bagaimanapun diselesaikan secara aman selepas Tengku Muhammad Fakhry menarik balik saman pemulanya. 

Kes berkenaan ditarik balik berikutan kereta tersebut yang sebelum ini ditempatkan di Istana Telipot di Kota Bharu, yang merupakan kediaman rasmi Tengku Mahkota, sudah dikembalikan ke Istana Mahkota di Kubang Kerian, Kota Bharu. 

Mengulas mengenai kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, Tengku Muhammad Fakhry berkata, kesihatan ayahandanya semakin baik dan boleh dikatakan seperti 'kereta yang mendapat enjin baru' selepas mendapatkan rawatan di Singapura baru-baru ini. 

"Baginda sudah mula boleh bercakap sejak pulang dari rawatan berkenaan dan kini dalam proses pulih sepenuhnya. Kita menyerahkan kepada doktor yang menjalankan rawatan dan setakat ini doktor memberi harapan yang positif," katanya. 

Mengenai kos rawatan ayahandanya, beliau berkata, walaupun kos sepatutnya ditanggung oleh Kerajaan Negeri namun ahli keluarga turut mengeluarkan belanja. 

"Takkan seorang Sultan pun tidak boleh dijaga," katanya dengan nada sinis. 

Bagaimanapun beliau tidak menyalahkan Kerajaan Negeri sepenuhnya dan mengucapkan terima kasih kerana melakukan solat hajat bagi mendoakan kesihatan Tuanku Sultan pulih daripada gering. 

"Terima kasih juga kepada Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan pegawai perubatan Kementerian Pertahanan menjaga Tuanku sepanjang masa," katanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan agar rakyat mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli keluarga terdekat Sultan sahaja kerana mereka (ahli keluarga) yang sentiasa berada menjaga Tuanku. 

"Orang lain tidak berada malahan langsung tidak bersama, bagaimana boleh mengeluarkan kenyataan baginda," katanya. 

No comments:

Post a Comment