Monday, August 30, 2010

PKR pertahan Nie Ching




SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki surau sengaja diperbesarkan UMNO yang dianggap gemar mengambil kesempatan berbuat demikian sekiranya isu membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR). 

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhd Nur Manuty berkata, PKR berpendapat dalam isu sebegini tiada masalah untuk orang bukan Islam untuk berbuat sedemikian kerana terdapat empat mazhab dalam Islam yang membenarkannya. 

“Bagaikan menahan lukah di pergentingan, UMNO dan para konconya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka. 

“Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, UMNO sentiasa mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Dalam masa sama, PKR katanya, menyambut baik saranan beberapa pemimpin agama termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki surau yang mengatakan bukan Islam boleh berbuat demikian. 

Dr Muhd Nur Manuty turut menerangkan bahawa terdapat beberapa mazhab yang membenarkan bukan Islam memasuki Masjid dan Surau iaitu Mazhab Hanafi dan Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah. 

“Manakala, Mazhab Hambali yang membenarkan untuk memasuki Masjidilharam dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. 

“Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja,” katanya. 

Menurutnya, kepelbagaian pandangan menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini.

No comments:

Post a Comment