KOTA KINABALU: Kerajaan Filipina memberi jaminan mereka akan melakukan yang terbaik untuk membebaskan dua rakyat Malaysia yang diculik dan ditahan oleh kumpulan bersenjata di selatan negara itu sejak Februari lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, isu itu adalah antara beberapa perkara yang dibincang ketika pertemuan beliau dengan Presiden Filipina, Benigno S Aquino III di Manila pada Selasa lalu.
“Kita berbincang mengenai penculikan itu dan beliau (Aquino) berkata, kerajaan Filipina akan melakukan segala yang mungkin untuk membebaskan kedua-dua mangsa culik.
“Tetapi seperti yang dinyatakan kepada kita, mereka perlu menangani isu ini sebaik mungkin kerana kita tidak mahu membahayakan nyawa mereka berdua,” katanya kepada pemberita semalam.
Dalam kejadian 7 Februari lalu, pengurus ladang rumpai laut Tsen Vui Chung, 42, dan sepupunya yang juga penyelia ladang Lai Wing Chau, 33, diculik dari Pulau Sebangkit, Semporna dan keluarga mereka mendakwa penculik meminta wang tebusan RM2 juta.
Anifah yang ditemui pada majlis makan tengah hari meraikan 30 duta dan pesuruhjaya tinggi yang hadir sambutan Hari Malaysia berkata, beliau akan sentiasa berhubung dengan Kementerian Luar Filipina bagi mengetahui perkembangan terbaru kes terbabit.
Mengulas hasil lawatan lima harinya ke republik itu yang berakhir kelmarin, Anifah berkata, hubungan antara Kuala Lumpur dan Manila kini berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan presiden baru Filipina. “Ini jelas menerusi pertemuan saya dengan Menteri Luar (Alberto G Romulo) dan Presiden.
“Kesungguhan Aquino untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di New York (pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) minggu depan adalah satu petanda baik, jadi kita sedang mengatur pertemuan kedua-dua pemimpin di sana,” katanya.
Anifah berkata, Aquino dijangka menyambung perbincangan mengenai peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina.
Anifah berkata, beliau turut mengulangi keperluan Filipina membuka pejabat konsulat di Sabah bagi memudahkan urusan berkaitan pekerja Filipina di sini.
Katanya, Aquino menjelaskan perkara itu akan dibincang bersama dengan isu tuntutan republik itu ke atas Sabah.
No comments:
Post a Comment