Saturday, September 18, 2010

Polis minta media hentikan laporan berbentuk spekulasi


KUALA LUMPUR 17 Sept. - Polis hari ini meminta media arus perdana menghentikan laporan spekulasi mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Ini kerana, laporan memetik sumber itu tidak menggambarkan insiden sebenar yang berlaku.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin membuat permintaan itu kerana khuatir laporan terbabit akan memberi gambaran yang tidak benar kepada masyarakat.
"Banyak yang diperkatakan oleh media adalah tidak benar. Contohnya, 17 mangsa telah hilang akibat diculik oleh suspek. Begitu juga dengan laporan mangsa telah disembelih dan dikepung oleh sekumpulan anjing liar.
"Selain itu, laporan akhbar hari ini seperti 'river of bones' (sungai yang dipenuhi tulang) dan mangsa diumpan dengan cek juga adalah tidak wujud," katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Mohd. Bakri memberitahu, polis tidak berniat untuk menakut-nakutkan pihak media namun pihaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil wartawan yang melaporkan berita tidak tepat berdasarkan sumber.
Beliau meminta media hanya mendapatkan kenyataan daripada Ketua Polis Negara, beliau sendiri, Ketua Polis Selangor dan Kuala Lumpur atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.
Bagi memastikan pihak media memberikan laporan benar, beliau akan cuba membuat kenyataan media dan sidang akhbar jika terdapat maklumat terkini.
"Jika saya tidak mengadakan sidang akhbar, pihak media boleh bertanya pada majlis yang melibatkan pegawai-pegawai yang terlibat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment