Saturday, September 18, 2010

Kes bunuh jejas imej Banting




2010/09/18

BANTING: Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain menjadi kes pembunuhan pertama di sini selain memahatkan sejarah hitam dan kesan buruk kepada penduduk tempatan. 

Penduduk, Idris Ahmad, 63, berkata kes pembunuhan itu memberi kesan kepada tahap keselamatan penduduk ekoran bimbang wujudnya serpihan penjenayah tidak berperikemanusiaan seperti suspek utama kes Sosilawati yang bergelar ‘Datuk’.“Keluarga rasa terancam selepas berlakunya kes ini. Selama ini kami hidup aman damai dan tidak perlu bimbang tetapi hari ini semuanya berubah corak,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Mohd Muaz Mohd Johan, 19, berkata penduduk di sini tidak dapat menerima apa yang dilakukan penjenayah selain menyifatkan ia dilakukan oleh syaitan bertopengkan manusia. 

“Semua kaum di sini hidup dalam keadaan harmoni, namun dengan berlakunya kes sebegini ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan hubungan. Mujurlah setakat hari ini tiada sebarang pergolakan kaum dan kami masih mampu hidup seperti biasa,” katanya. 

Sementara itu, Siti Mislijah Saratul, 53, berkata kes bunuh itu memadamkan nama baik Banting sebagai lokasi lahirnya jaguh badminton negara iaitu Datuk Jalani, Datuk Misbun dan Rashid Sidek. 

“Sebelum ini Banting aman dan tiada kes pembunuhan, apatah lagi pembunuhan kejam seperti ini. Ia meninggalkan sejarah hitam kepada kawasan ini di mata masyarakat umum. 
“Beberapa tahun lalu Banting menjadi tumpuan apabila ada mendakwa UFO mendarat di Tanjung Sepat tetapi kini menjadi tumpuan dengan kes bunuh pula. Ia boleh disifatkan memalukan dan mencemar nama,” katanya. 

Sebelum ini, penduduk pernah membangkitkan insiden pembuangan bangkai babi dan najis babi di sini yang menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar. 

Penduduk berharap polis menyiasat kemungkinan premis niaga dan ladang di sini sekadar ‘topeng’ pembersihan wang haram, termasuk hasil dadah. 

No comments:

Post a Comment