Saturday, September 18, 2010

UMNO elak konflik dengan NGO



KUALA LUMPUR 17 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO akan sentiasa mengelak daripada mewujudkan sebarang konflik dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Perdana Menteri berkata, UMNO akan sentiasa mengambil pendirian itu termasuk dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) walaupun ada NGO tertentu yang mengemukakan pandangan tidak dipersetujui oleh parti itu.
"Kita tidak mahu ada konflik dengan mana-mana NGO dan bagi UMNO, Perkasa seperti NGO lain.
"Kita mempunyai banyak NGO dan kadang-kala kita bersetuju dan ada masa kita tidak bersetuju. Lebih mustahak UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan dan apa yang diperkatakan oleh parti ini adalah lebih penting," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Hidup Bersama Dalam Masyarakat Berbilang Kaum anjuran Yayasan 1Malaysia di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini yang meminta ahli parti itu menjauhi Perkasa berikutan banyak tindakan dan kenyataannya dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan pengundi pelbagai kaum terhadap Barisan Nasional (BN).
Dalam hal ini, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, kenyataannya mengenai Perkasa itu tidak merujuk kepada komen oleh mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Saya tidak mahu merujuk secara khusus kepada mana-mana individu," katanya.
Pada 12 September lalu, Dr. Mahathir berkata, UMNO tidak mampu berbalah dan memisahkan diri daripada Perkasa jika tidak mahu menanggung risiko kehilangan lebih banyak sokongan.
Mengulas ucaptamanya mengenai pihak yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mentakrif semula dasar afirmatif supaya bersifat mesra pasaran dan adil, Najib berkata, ucapannya itu tidak menyentuh mana-mana pihak secara khusus.
Beliau sebaliknya menjelaskan ia hanya menyentuh mengenai keadaan zaman yang telah berubah dan hakikat bahawa kerajaan tidak melupakan objektif dasar-dasar afirmatif sebelum ini.
"Oleh kerana kita mahukan masyarakat yang adil dan seimbang, maka kita perlu mentakrifkan semula kaedah pelaksanaan dasar ini supaya sesuai dengan peredaran masa," katanya.

No comments:

Post a Comment