JASIN 17 Sept. - Impian seorang ibu tunggal, Zaiton Baba, 43, untuk memiliki rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini bakal menjadi kenyataan.
Setelah hampir dua tahun terpaksa menumpang di rumah bapa mertuanya di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai di sini sejak kematian suami Nazaruddin Hassan, 45, Zaiton kini mampu mengukir senyuman.
Rumah PPRT Simpang Empat Jalan Salim dekat sini dijangka siap sebelum hujung tahun ini membolehkan dia hidup lebih sempurna bersama tiga orang anaknya.
"Saya menunggu begitu lama untuk memiliki rumah sendiri. Itupun rumah PPRT dan saya bersyukur memperolehnya. Saya tidak mahu terus menumpang rumah bapa mertua saya.
"Tahun ini adalah terakhir saya menyambut Aidilfitri di rumah mertua dan tahun depan saya akan berhari raya di rumah sendiri," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Sejak kematian suaminya dua tahun lalu, Zaiton terpaksa menanggung tiga orang anaknya, Mohd. Shauki, 18, Suhadah, 16, dan Nur Shuhadah, 10.
Sebelum ini, mereka tinggal di kedai runcit milik arwah suaminya yang terletak di hadapan rumah bapa mertuanya.
Namun ketiadaan modal menyebabkan Zaiton gagal meneruskan perniagaan kedai runcit dan terpaksa ditutup.
Bagaimanapun, dia berjaya memperoleh pekerjaan di sebuah kilang dengan berpendapatan sebanyak RM300 sebulan.
"Pendapatan saya memang tidak cukup untuk menyara tiga anak yang sudah bersekolah tetapi saya turut mendapat bantuan kewangan sebanyak RM130 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)," katanya.
Di samping itu jelasnya, atas pertolongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman, dia turut menerima beberapa bantuan lain.
Katanya, rumah PPRT yang akan didiami tidak lama lagi adalah hasil usaha Hasan kerana sebelum ini ia tertangguh beberapa kali.
"Saya lega setelah menunggu lama akhirnya saya dijanjikan rumah PPRT yang akan siap sebelum hujung tahun ini," katanya.
Mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini jelasnya, dia dan tiga anaknya menyambutnya dengan cara sederhana.
Dia juga turut berterima kasih kepada Hasan yang menyampaikan sumbangan makanan seperti beras, susu, gula dan sebagainya di samping duit raya sebelum sambutan Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment