KUALA LUMPUR 17 Sept. - Orang ramai digesa supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan urusan perniagaan termasuk dengan individu yang mendakwa mempunyai gelaran Datuk.
Ini kerana semakin banyak pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan gelaran itu bagi mengaburi mangsa seperti yang dilakukan suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Pakar undang-undang, Profesor Salleh Buang berkata, orang ramai perlu 'membuka mata' mereka dan jangan terlalu cepat percaya apabila berurusan dengan pihak yang tidak dikenali, termasuk yang bergelar Datuk.
Katanya, orang ramai yang berurusan dengan individu bergelar Datuk perlu memastikan terlebih dahulu kesahihan pangkat tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Pada masa kini, semakin banyak pihak yang mendakwa diri mereka sebagai Datuk walaupun sebenarnya mereka tidak pernah dikurniakan gelaran tersebut.
"Mereka hanya menggunakannya untuk kepentingan peribadi dan 'memancing' mangsa sebelum melakukan kegiatan jenayah seperti yang berlaku dalam kes Datuk Sosilawati Lawiya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nama suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang tidak tersenarai sebagai Penerima Darjah Kebesaran (Bergelar) Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan yang disiarkan dalam laman web rasmi Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA).
Bagi Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Aspalella A. Rahman pula, gelaran Datuk pada masa kini tidak lagi menjamin personaliti seseorang itu.
Beliau juga khuatir persepsi masyarakat terhadap pemegang gelaran tersebut akan turut berubah berikutan kes pembunuhan Datuk Sosilawati.
"Suatu ketika dahulu gelaran Datuk adalah untuk individu yang berjasa kepada negara tetapi kini terdapat golongan yang sewenang-wenangnya menggunakan gelaran tersebut untuk mengaburi mata masyarakat dan melakukan perbuatan terkutuk.
"Saya khuatir kes seumpama ini (pembunuhan Sosilawati) akan memberi impak kepada mereka yang mempunyai gelaran Datuk dan menghakis rasa hormat orang ramai terhadap mereka,'' jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sosial Harmoni Malaysia, Nordin Ahmad percaya terdapat banyak kes penipuan oleh individu yang menggunakan gelaran Datuk berlaku sebelum ini tetapi tidak mendapat liputan kerana tiada laporan polis yang dibuat berhubung salah laku tersebut.
''Saya berharap kes pembunuhan Sosilawati ini akan membuka mata orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jangan terlalu percaya kepada individu bergelar Datuk sebelum mengesahkan kesahihannya,'' katanya.
No comments:
Post a Comment