Saturday, September 18, 2010

UMNO Kelantan tidak halang ahli sertai Perkasa


BACHOK 17 Sept. - UMNO Kelantan tidak menghalang ahlinya daripada menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memandangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menjadi wadah perjuangan aktivis Melayu di negara ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Perkasa bukan sebuah pertubuhan politik dan kedudukannya sama dengan persatuan sukarela lain yang berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan.
"Ia boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk aktif memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan ia tidak boleh digambarkan sebagai 'serasi' atau menggambarkan keputusan yang dibuat Perkasa adalah keputusan ahli UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra Aidilfitri dan penubuhan Persatuan Mahasiswa Daerah Bachok di Pusat Kokurikulum Tangok dekat sini semalam.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan tidak menafikan kemungkinan majoriti ahli UMNO di daerah ini merupakan ahli Perkasa.
Bagaimanapun jelasnya, ahli UMNO yang menyertai Perkasa tahu dan dapat membezakan antara agenda perjuangan parti yang berteraskan kepentingan politik dengan perjuangan Perkasa sebagai sebuah NGO.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, tidak semua tuntutan yang dikemukakan oleh Perkasa dipersetujui atau ditolak oleh UMNO kerana ia perlu dinilai dan diperhalusi terlebih dahulu.
"Jangan samakan UMNO dengan Perkasa kerana proses pendaftaran pertubuhan yang berasaskan aktiviti politik dan NGO adalah berbeza.
"UMNO mempunyai tanggungjawab yang lebih besar bagi menjaga kepentingan semua kaum di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment