KUALA LANGAT 17 Sept. – Selepas enam hari `berkampung' di sebuah kuil yang terletak di tepi jalan masuk ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, petugas media hari ini berpeluang menghampiri ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Ladang bertembok batu seluas kira-kira 1.6 hektar terletak kira-kira 300 meter dari jalan besar itu kelihatan sunyi.
Ketika petugas media tiba di pintu pagar ladang yang diperbuat daripada kayu dan disusun jarang, terdapat beberapa anggota polis berkawal di hadapannya.
Bagaimanapun ketika cuba mendekati kawasan pintu pagar automatik itu yang terdapat tanda amaran `Dilarang Masuk, Awas Anjing Garang', bagi meninjau keadaan di dalamnya, petugas media diminta beredar oleh anggota bertugas dengan alasan kes belum habis disiasat.
Salah seorang anggota polis juga dilihat sentiasa memantau di kawasan kiri dan kanan ladang berpagar itu bagi memastikan tiada sesiapa terutama petugas media mencuri masuk ke dalam kawasan ladang tersebut.
Berdasarkan pemerhatian dari luar pintu pagar, terdapat tapak semaian dipercayai pokok sirih yang bumbungnya diperbuat daripada jaring hitam di sebelah kanan, sementara di sebelah kiri pula terdapat kandang burung merak selain gazebo, rumah kampung dan sebuah bangsal serta beberapa ekor lembu berkeliaran.
Di tepi bangsal pula terdapat satu lagi pagar untuk masuk ke satu lagi bahagian ladang. Tetapi pemandangan di dalamnya tidak dapat dilihat dengan jelas.
Kira-kira pukul 3.30 petang sebuah kereta Proton Waja berwarna hitam yang dinaiki empat anggota polis berpakaian preman masuk ke dalam ladang suspek dan keluar kira-kira 20 minit kemudian.
Sepasukan anggota unit forensik juga dilihat masuk ke dalam ladang kira-kira pukul 11.45 pagi dan keluar setengah jam kemudian sebelum masuk semula pada pukul 5.20 petang dan keluar selepas satu jam.
Pasukan forensik itu juga dilihat berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk mengambil beberapa barang kes.
Bagaimanapun, pihak polis sebaik sahaja menyedari petugas media mengintai kawasan persekitaran ladang berkenaan, telah menghalang laluan masuk ke ladang itu dengan sebuah kereta peronda dan sebatang kayu petang ini.
Ladang Gadong yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pantai Morib mula menjadi tumpuan media dan orang ramai apabila ia dikatakan menjadi lokasi pembunuhan kejam Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain
No comments:
Post a Comment