Saturday, September 18, 2010

Tujuh anggota polis dicederakan




KUALA TERENGGANU – Sebanyak tujuh kes anggota polis dicederakan ketika menjalankan tugas dilaporkan di Terengganu sejak tiga tahun lalu, kata Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd Jamil. 

Menurut Hamzah, jumlah itu melibatkan lima anggota dan dua pegawai serta kes terbaru berlaku Rabu lalu ketika seorang anggota polis sedang bertugas dalam operasi cegah jenayah dan samseng jalanan di Jalan Masjid Abidin. 

Beliau berkata, kebanyakan kes polis dilanggar ketika bertugas sama ada operasi cegah jenayah atau kes lain mengakibatkan kecederaan parah kepada mangsa termasuk patah tangan, paha, tulang selangka selain luka pada anggota badan. 

“Kita memandang serius kes seumpama ini dan ini menunjukkan bahawa ada individu yang tidak menghormati undang-undang dengan bertindak sesuka hati,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menziarahi Konstabel Arizan Mohamad, 24, seorang anggota polis yang cedera setelah dirempuh oleh sebuah motosikal dinaiki pelajar berusia 15 tahun dan rakannya, malam Rabu lalu. 

Akibat rempuhan itu, Arizan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan berasal dari Sarawak mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kiri dan tulang selangka selain menerima 10 jahitan di kepala. 

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu, dalam usaha mengatasi masalah samseng jalanan di negeri ini pihaknya akan memperhebatkan operasi di lokasi yang dikenalpasti menjadi tumpuan kumpulan berkenaan. 

Menurut beliau, operasi tersebut akan diadakan secara bersepadu bersama dengan agensi penguat kuasa lain iaitu Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pe-ngangkutan Jalan (JPJ) dan agensi dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri. 

“Kita sudah kenal pasti lokasi kumpulan samseng jalanan ini dan setakat ini kita akan memberi lebih tumpuan kepada daerah Kuala Terengganu dan Dungun selain memantau daerah lain juga,” katanya. 

Malah, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak masing-masing dengan tidak membenarkan mereka memandu kenderaan sekiranya tidak mempunyai lesen memandu. 

Dalam kunjungan tersebut, Hamzah turut menyampaikan hamper kepada Arizan selain akan berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa termasuk kerusi roda melalui tabung kebajikan polis kontinjen Terengganu.

No comments:

Post a Comment