Saturday, September 18, 2010

siasat TV Selangor - Polis


SHAH ALAM 17 Sept. - Portal berita TV Selangor perlu disiasat kerana menyiarkan dakwaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin kononnya wujud hubungan pimpinan tertinggi polis dengan suspek pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, tindakan harus diambil ke atas portal berita itu sekiranya didapati dakwaan berkenaan tidak berasas.
Tegasnya, dakwaan dan penyiaran laporan seumpama itu merupakan satu tuduhan yang amat berat kerana jelas mengandungi unsur-unsur hasutan bagi merosakkan imej serta perjalanan tugas pasukan keselamatan tersebut.
Malah katanya, penyiaran kenyataan Shamsul Iskandar oleh TV Selangor itu juga didapati turut mengganggu siasatan polis terhadap kes pembunuhan kejam Sosilawati serta tiga lagi rakannya.
"Tidak ada sebab untuk beliau (Shamsul Iskandar) dan TV Selangor masing-masing membuat kenyataan serta menyiarkan laporan sedemikian. Umum mengetahui bahawa kes pembunuhan tersebut sedang dalam siasatan pihak polis.
"Jadi apa motif sebenar membuat kenyataan sedemikian? Apakah beliau mahu mempolitikkan kes pembunuhan ini dengan merosakkan imej serta kredibiliti polis yang menyiasat kes itu.
"Maka, adalah wajar pihak polis turut memanggil pihak TV Selangor selain Shamsul Iskandar sendiri bagi menyiasat dakwaan ini. Jika didapati tidak berasas, tindakan tegas harus diambil terhadap kedua-dua pihak tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isnin lalu, Shamsul Iskandar mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis sebagai terbabit dalam pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga rakannya ketika ditemu ramah oleh portal berita TV Selangor.
Dalam temu ramah tersebut, Shamsul Iskandar turut mempersoalkan sama ada wujud pertalian antara bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan suspek memandangkan tiada sebarang tindakan diambil terhadap peguam yang bergelar 'Datuk' itu walaupun mempunyai empat rekod berkait pembunuhan serupa.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menyelar dakwaan yang dibuat oleh Shamsul Iskandar dan menyifatkannya satu kenyataan paling merepek pernah didengarnya.
Tegas Khalid, Shamsul Iskandar akan dipanggil untuk merakamkan percakapan berhubung dakwaan itu dan diminta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua tuduhan yang dilemparkan atau berhadapan tindakan undang-undang sekiranya gagal mengemukakan sebarang bukti.
Dalam pada itu, Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang turut mempersoalkan agenda sebenar TV Selangor itu yang seolah-olah menjadi media rasmi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas di negeri ini.

No comments:

Post a Comment