TEMERLOH: “Ketika helikopter hampir mahu terhempas, saya sempat melaung takbir beberapa kali,” kata pembantu juruterbang Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Khairil Azwan Jamaluddin, 30, menceritakan detik cemas helikopter dinaikinya bersama dua lagi rakan setugas terhempas ketika melakukan pemantauan laluan trafik Lebuhraya Pantai Timur (LPT), kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, helikopter jenis Augusta A109E terhempas dalam ladang getah Felcra Bukit Lada, Kuala Kaung, dekat Lanchang, dipercayai akibat cuaca buruk.
Difahamkan, helikopter berkenaan yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 9 pagi dijadualkan terbang meliputi daerah Bentong dan Kuantan sehingga Kerteh, Terengganu bagi membuat pemantauan Ops Raya di laluan Timur-Barat.
Bagaimanapun, pesawat terbabit dikatakan berpatah balik ke pangkalan berikutan cuaca buruk dipercayai kabus tebal, namun terhempas sejurus tiba di tempat kejadian.
Nahas terbabit mengakibatkan Khairil Azwan cedera dengan mengalami keretakan pada tulang belakang dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), manakala juruterbang, Kapten Roslan Aziz, 30, berasal dari Sungai Petani, Kedah, parah di tengkuk selepas tertusuk ranting pokok getah dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Seorang lagi mangsa, Kuartermaster Udara, Mohd Noorhasrul Mohd Noordin, 33, berasal dari Bagan Serai, Perak hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.
Khairil Azwan berkata, dia tidak sedar helikopter dinaikinya berpusing beberapa kali selepas terlanggar pokok getah ketika terbang rendah.
“Saya pasrah dan reda ketika helikopter hampir mahu terjunam. Ketika itu, saya hanya mampu memejamkan mata tetapi dalam hati tidak putus-putus berdoa kepada Tuhan supaya selamat.
“Sebaik saja membuka mata, saya dapati pesawat berada atas tanah dan tanpa berlengah saya terus keluar bersama Mohd Noorhasrul, tetapi juruterbang masih berada di dalam,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heong.
Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Ahmad Kabit dan Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mahadi Md Ali.
Katanya, dia segera mematikan enjin helikopter yang masih berfungsi, selain mencabut bateri kerana dikhuatiri berlaku percikan api yang mampu menyebabkan nahas lebih buruk berlaku.
“Selepas itu, saya berusaha membantu membawa keluar juruterbang yang masih berada di dalam helikopter dengan bantuan Mohd Noorhasrul memanjat badan helikopter bagi membuka tali pinggang keselamatan juruterbang.
“Dalam masa satu minit, juruterbang dikeluarkan dan kami memapahnya ke tempat lebih selamat.
“Ketika itu juruterbang masih sedar cuma tidak banyak bercakap dan sedikit meronta disebabkan kecederaan dialaminya parah berbanding kami,” katanya.
Khairil Azwan berkata, mujur kejadian disaksikan pekerja ladang itu yang segera menghulur bantuan dengan menghubungi pengurusan Felcra dan pihak berkuasa.
“Saya juga menanyakan lokasi kejadian dimaklumkan kepada pangkalan mengenai lokasi nahas berlaku untuk tindakan lanjut. Selepas itu, saya sempat menghubungi ibu memberitahu keadaan saya ketika itu,” katanya.
Sementara itu, Chor berkata, nahas helikopter itu kali pertama berlaku membabitkan pesawat milik JBPM sejak agensi berkenaan menggunakan perkhidmatan udara tujuh tahun lalu.
Menurutnya, helikopter yang terbabit dalam nahas itu baru tujuh tahun digunakan dan keadaannya masih baik ketika diterbangkan sebelum berlaku nahas.
“Kertas siasatan mengenai punca kejadian dilakukan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dengan bantuan JBPM dan dijangka siap dalam masa seminggu lagi.
“Walaupun kita belum mengetahui punca sebenar kejadian itu, tetapi saya difahamkan ia berlaku ketika keadaan berkabus tebal, namun kita harus tunggu siasatan pihak DCA mengetahui punca nahas, namun apa yang penting ketiga-tiga anggota selamat,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa.
Katanya, pihaknya juga tidak berhasrat menggantung perkhidmatan tujuh lagi helikopter agensi berkenaan selepas nahas terbabit, selain menjelaskan operasi pemantauan udara tetap dilakukan tiga helikopter jenis Augusta A109E dan empat lagi jenis Mi17 seperti biasa.
“Operasi tujuh lagi helikopter milik JBPM masih berjalan seperti biasa dan kita tidak tangguhkan perkhidmatannya, malah pemantauan udara diteruskan memandangkan ia rutin tugasan JPBM,” katanya.
Chor berkata, beliau difahamkan ketika tiba di tempat kejadian, keadaan cuaca buruk berikutan kabus tebal dan juruterbang mengambil keputusan berpatah balik ke pangkalannya di Subang.
“Kecekapan Kapten Roslan berpengalaman lebih 900 jam penerbangan mengendalikan situasi cemas itu berjaya menyelamatkan nyawanya dan dua lagi rakannya daripada mengalami kecederaan yang lebih parah,” katanya.
No comments:
Post a Comment