Friday, March 25, 2011

Bimbang ancaman anjing liar



ENDAU – Penduduk sekitar pekan Endau di sini melahirkan kebimbangan berikutan ancaman anjing liar di kawasan berkenaan.

Salah seorang penduduk, Mohd Khairul Hisham,25, berkata, kehadiran anjing liar yang berkeliaran sekitar kawasan berkenaan juga boleh menjejaskan imej pekan itu.

Menurutnya, penduduk dan pengunjung luar yang singgah untuk membeli barangan keperluan khususnya khuatir anjing terbabit menyebabkan mereka terdedah kepada risiko keselamatan.

“Saya agak terkejut kerana semasa singgah untuk membeli barangan dapur di sini, saya lihat beberapa ekor anjing liar sedang menyelongkar sampah-sarap mencari makanan.

“Selain itu, kehadiran sekumpulan anjing juga dikhuatiri akan menyebabkan pekan ini menjadi kotor sekiranya keadaan tersebut tidak diatasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, anak-anak kecil pastinya terdedah dengan segala kemungkinan dan bakal mengundang kejadian yang tidak diingini.

Sinar Harian difahamkan, pihak Majlis Daerah Mersing (MDM) sebelum ini pernah mengadakan operasi menangkap anjing di kawasan berkenaan namun masalah itu masih juga berlarutan.

Ujar Mohd Khairul, dia berharap operasi menangkap anjing liar liar di kawasan itu dapat dilakukan semula sebelum bilangan anjing menjadi semakin banyak.

“Saya pernah dikejar seekor anjing liar yang kelaparan semasa selesai membeli barangan keperluan rumah di pasar dekat sini.

“Kumpulan anjing liar ini perlu ditangkap segera sebelum ia mencederakan orang ramai serta dapat menjaga imej pekan Endau,” katanya.

No comments:

Post a Comment