Friday, March 25, 2011

Serangan udara kuasa Barat gagal



TRIPOLI - Tentera Bersekutu melancarkan serangan udara buat hari kelima ke atas Libya, semalam, tetapi masih gagal melumpuhkan barisan pertahanan tentera di negara itu.

Askar yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus menyerang bandar yang dikuasai pemberontak di timur negara itu.

Menurut kumpulan pemberontak, tentera pro-Gaddafi melancarkan serangan pada waktu malam selepas mereka menerima serangan udara bertalu-talu daripada tentera Barat pada siang hari.

Sementara itu, satu letupan besar kedengaran di Tripoli dan asap tebal dilihat meliputi hampir seluruh kawasan yang menjadi pangkalan tentera darat, awal pagi semalam.

Kerajaan Libya sebelum itu menunjukkan 18 mayat anggota tentera dan orang awam yang terkorban akibat serangan peluru berpandu yang dibedil oleh tentera bersekutu, kelmarin.

Amerika Syarikat sebelum itu mengumumkan zon larangan terbang berjaya diwujudkan di negara tersebut.

Gaddafi yang telah memerintah negara itu selama 42 tahun menafikan pasukan tenteranya menyasarkan rakyat sendiri tetapi hanya mempertahankan diri apabila diserang kuasa Barat.

No comments:

Post a Comment