KUALA LUMPUR - Kira-kira 4,000 pelajar Libya yang menuntut di Malaysia kini menghadapi masalah dan dikatakan hanya mampu untuk menyara diri mereka selama dua hingga tiga bulan sahaja.
Keadaan itu berikutan mereka sukar untuk mendapatkan wang dari negara asal setelah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) memerintahkan pembekuan aset ke atas negara yang sedang bergolak itu.
Issa Elmokhtar Omar, pelajar pengurusan pendidikan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, mereka kini berjimat-cermat dan bernasib baik kerana ada rakan-rakan pelajar tempatan yang membantu meringankan beban dengan memberikan bantuan kewangan.
"Sekarang ada 4,000 pelajar Libya di Malaysia. Apakah nasib pelajar itu sekiranya pembekuan aset diteruskan, bagaimana nak sara hidup kami, pelajar di negara lain juga seperti kami," katanya menerusi jurubahasa Mohd. Moha ketika ditemui di sini.
Beliau yang kesal dengan tindakan zalim pihak Barat menyerang Libya mengharapkan agar rakyat Libya terus bersatu dan menolak keganasan yang berlaku di negara utara Afrika itu.
"Barat telah membuat keputusan zalim terhadap Libya tanpa memikirkan kehendak rakyat Libya sendiri. Mereka akan hancurkan kemajuan yang ada di Libya dan pecah belahkan negara Arab serta Islam," katanya.
Issa yang mewakili rakan-rakannya, Abdulmajid Gassim, Mohamad Abousa Gaza dan Rajab Mohamed Eshiiba, juga kecewa kerana media Islam tidak melaporkan perkara sebenar dan terikut-ikut dengan agenda media Barat.
kosmo
No comments:
Post a Comment