Friday, March 25, 2011

Krisis makanan Jepun meruncing



TOKYO - Krisis makanan tercemar di Jepun dilihat semakin meruncing apabila Australia, Kanada dan Singapura menjadi negara terbaru yang menyekat import makanan dari Jepun, semalam.

Tindakan itu diambil kerana kebimbangan mengenai tahap keselamatan makanan dari negara Asia itu akibat radiasi yang tersebar dari loji nuklear Fukushima yang rosak akibat gempa bumi.

Beberapa letupan di loji itu mencetuskan kecemasan global di mana Amerika Syarikat dan Hong Kong mula menyekat kemasukan makanan dari Jepun dan Perancis meminta Kesatuan Eropah mengambil tindakan sama.

Sementara itu, Australia turut mengarahkan import makanan dari empat wilayah Jepun berhampiran loji nuklear itu dihentikan sementara waktu termasuk makanan laut, produk tenusu dan sayur-sayuran segar.

Bagaimanapun, makanan Jepun yang sedia ada di pasaran seperti produk yang diimport sebelum gempa bumi itu disahkan selamat dan bebas daripada radiasi.

Sekurang-kurangnya 25,000 rakyat Jepun terkorban dan hilang akibat gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter yang mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter, 11 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment