PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yakin tayangan video seks di Carcosa Seri Negara Isnin lalu adalah satu konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR meminta polis segera menyiasat kumpulan ‘Datuk T’ yang secara terbuka telah mengaku terlibat dalam penganjuran tayangan tersebut kepada beberapa orang wartawan.
“Mereka telah melakukan kesalahan kerana memiliki dan menayangkan bahan lucah yang jelas melanggar undang-undang, polis perlu menyiasat mereka,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini, semalam.
Semalam, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, mengaku mereka menggunakan nama ‘Datuk T’ dan mengesahkan terlibat dalam tayangan video berkenaan.
Mereka juga menamakan Datuk Shuib Lazim sebagai termasuk dalam trio ‘Datuk T’, walaupun beliau tidak hadir.
Johari yang turut diundang menonton video tersebut berkata, beliau sedikit pun tidak percaya lelaki dalam video itu Anwar.
Dalam sidang media semalam, beliau yang juga anak saudara kepada Shuib membuat beberapa penjelasan berhubung kenyataan kumpulan ‘Datuk T’ seperti yang dilaporkan media.
Mengenai pengakuan Eskay beliau ada dalam video sepanjang 21 minit:
Pada permulaan video ada dua lelaki, seorang berpakaian kemas dan seorang lagi memakai tuala. Ada juga seorang wanita berbogel sepanjang masa.
Sebab gambar tidak jelas, saya ingin tahu mana Eskay, adakah yang berbaju kemas itu, atau bertuala. Yang pasti beliau mengaku ada dalam video tersebut.
Mengenai pendedahan video ini yang dikaitkan dengan moraliti pemimpin:
Kalau hendak kira moraliti, semua yang terlibat dalam video tersebut, termasuk Eskay juga boleh diragui moraliti. Saya tanya Eskay, bilik ini bilik apa, dia jawab ini bilik di KL yang ‘bos’ (merujuk kepada Anwar) selalu guna. Dia guna bilik ini, saya guna bilik sebelah. Apa ertinya ini?
Mengenai dakwaan beliau (Johari) menelefon Shuib meminta RM100,000:
Itu tidak ada, saya pun tahu harga diri. Mereka sebenarnya meminta saya mencari beberapa orang pemimpin PKR untuk menonton saya, bagi mengecam lelaki yang melakukan seks itu.
Saya cadang lima Ahli Parlimen PKR, dua daripadanya bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebab mereka lebih kenal Anwar. Isunya di sini ialah mereka datang untuk mengecam, tidak timbul langsung minta duit.
Mengenai tuduhan Anwar adalah lelaki yang melakukan seks dalam video:
Gambar hitam putih; saya hairan dalam zaman serba canggih ini macam mana dia orang tidak ambil guna warna? Filem hitam putih hanya sesuai untuk zaman P Ramlee. Tempat rakaman itu pun cekai, saya tidak percaya di Kuala Lumpur.
Mereka menggunakan empat kamera, tetapi semua kamera statik, tidak bergerak, yang bergerak adalah mereka yang lakukan seks. Tidak ada satu pun gambar menunjukkan wajah dituduh.
Datuk T tidak menjawab bila saya kata bentuk tubuh bukan macam Anwar sebab punggung dia besar, perut buncit. Tidak ada bentuk Anwar. Sebab itu saya tidak percaya sikit pun itu Anwar.
Sebaik sahaja keluar dari Carcosa saya terus menghubungi Anwar. Beliau kata ini satu lagi fitnah melampau. (Anwar kemudian memanggil sidang akhbar, membuat penafian).
Mengenai mengapa dia dipilih dari sekian banyak pemimpin PKR untuk menyaksikan video tersebut:
Mungkin tahu saya masih berkawan rapat dengan beberapa orang pemimpin UMNO, jadi mereka hendak saya mengesahkan bahawa Anwar ada dalam video tersebut.
Mungkin mereka anggap saya ada pengaruh sebagai Timbalan Whip di Parlimen. Mungkin juga sebab saya ada hubungan keluarga dengan Shuib. Saya tidak banyak cakap semasa tayangan, sebab saya takut apa saya cakap akan dirakam. Bila dia panggil saya sudah berhati-hati.
Saya Cuma ada tanya Eskay “tempat ni macam di kampung Thailand, dia kata ini di KL”. Tempat itu cekai sangat.
Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa tidak ada yang melanggar undang-undang dalam penayangan video tersebut:
(Seksyen 292 Kanun Keseksaan) dengan jelas menyebut mereka yang memiliki, menayang dan mengedarkan bahan lucah adalah satu kesalahan. Mohamed Nazri menteri yang tahun undang-undang, saya tidak faham kenapa dia kata begitu.
Apa pun kita serahkan semua ini pada polis, mereka patut siasat segera.
Mengenai cadangan Datuk T supaya ditubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat kes ini:
Ini kes polis, siasat dulu. Kita ada undang-undang yang membolehkan siasatan dilakukan.
Kes ini mudah sahaja, tidak perlu tubuh suruhanjaya khas. Kalau semua hendak tubuhkan suruhanjaya, masa kita akan habis di sini. Kita tidak ada kerja lainkah?
Dia orang kata hendak tunjukkan video itu pada NGO. Ini kes polis, tidak ada kena mengena dengan NGO. Mengarut!
Mengenai konspirasi:
Pertama, perkara ini didedahkan menjelang pilihan raya umum negeri Sarawak. Kedua, kalau mereka ada video patutnya serah pada polis dulu, kenapa hendak suruh wartawan tengok. Mereka hendak media membentuk ‘public opinion’. Ketiga, kenapa perlu di Carcosa dan kawalan yang begitu ketat, kena skrin, kena ambil telefon bimbit.
No comments:
Post a Comment