Friday, March 25, 2011

Paha keluar objek misteri



SUNGAI TIANG – Seorang pesakit dan ahli keluarganya di Kampung Hujong Kubur di Felda Sungai Tiang di sini, masih diselubungi tanda tanya mengenai satu objek seperti serpihan tulang yang sentiasa keluar dari belakang pahanya.

Pesakit, Harun Saidin, 45, yang hanya terlantar lebih dua tahun tertanya-tanya mengenai penyakit yang dihadapinya itu kerana sehingga kini doktor masih belum mengesahkan mengenai penyakitnya itu.

Menurutnya, dia hanya mampu terlantar sahaja memandangkan separuh bahagian badannya tidak berfungsi lagi.

“Saya hairan objek itu seperti serpihan tulang yang keluar menyebabkan saya bertindak meminta ibu saya mencabutnya menggunakan sejenis alat kerana objek misteri itu sentiasa menikam saya ketika baring.

“Saya masih simpan objek misteri itu kerana hairan melihat keadaannya yang begitu keras dan meminta pihak berkenaan tampil ke rumah membuat pemeriksaan mengenai benda misteri itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibunya, Ramlah Said, 69, berkata, dia bersimpati melihat keadaan anaknya itu yang hanya terlantar walaupun hendak makan atau minum.

“Anak saya hanya bergantung pada beg plastik yang dipasang di kemaluannya memandangkan dia tidak boleh bangun apatah lagi duduk dan hanya saya seorang sahaja yang menjaganya.

“Saya juga merasa hairan dengan objek misteri yang keluar dari belakang paha anak saya itu. Banyak darah keluar selepas objek misteri itu dibuang,” katanya.

Keluarga Ramlah turut mengalami masalah kesempitan hidup kerana suaminya turut terlantar disebabkan faktor usia yang semakin meningkat dan pada masa sama dia terpaksa menjaga anaknya itu.

“Saya tidak bekerja dan hanya bergantung kepada wang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang sebanyak RM600 sebulan, namun tidak mencukupi apabila perbelanjaan lampin pakai buang dan rawatan anak tinggi.

“Saya juga hanya bergantung kepada air perigi sahaja memandangkan rumah yang diduduki ini adalah rumah tumpang sahaja yang dibenarkan pemiliknya,” katanya.

Hadir melawat keluarga itu, Pegawai Zakat daerah Pendang, Muhammad Faidulatraf Abdullah yang akan memberi bantuan keperluan makanan dalam kategori fakir makanan bernilai RM400 sebulan bermula April depan.

Setiausaha Yayasan Prihatin, Kemiskinan dan Pendidikan Kedah (YPKPK), Mohd Nazri Kamaruddin berkata, yayasannya akan memberi bantuan keperluan lampin pakai buang setiap bulan bernilai hampir RM100 bagi meringankan beban.

No comments:

Post a Comment