Friday, March 25, 2011

Elak budaya cantas-mencantas



BATU CAVES – Ahli Pas diingatkan supaya tidak mengamalkan politik ‘cantas-mencantas’ pemimpin di peringkat parti itu.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Mohd Ridzuan berkata, pemilihan jawatankuasa Pas tahun ini diharap tidak berlaku provokasi dengan niat menjatuhkan pimpinan lain.

“Saya berharap isu cantas mencantas tidak timbul sepertimana berlaku dalam UMNO-Barisan Nasional (BN). Ahli Pas sudah ditarbiahkan agar menghormati sesama ahli,” katanya di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Cawangan Taman Selayang Kali ke-13, di Dewan Pusat Komuniti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Selayang, di sini.

Katanya, ahli Pas wajib menjalankan tanggungjawab dengan menghadirkan diri ke mesyuarat yang merupakan faktor penting memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) terus kekal dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Petanda-petanda PRU-13 semakin hampir. Keadaan juga mencemaskan apabila bilangan memasuki kawasan Parlimen Gombak makin meningkat dengan kemasukan pengundi yang tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

Menurut Hasbullah, pihaknya percaya kemasukan pengundi hantu mendapat kerjasama pihak terlibat didakwa bersekongkol dengan BN.

Katanya, pihak tertentu turut menggunakan kakitangan kerajaan bagi memastikan kemenangan dipihak mereka.

“Semua ahli diminta mengemas kini segala gerak kerja supaya lebih mantap,”

Hasbullah berkata, kekalahan PR dalam pilihan raya kecil (PRK) di beberapa negeri menunjukkan BN telah memasangkan strategi mereka, walaupun setiap kali pemilihan calon PRK, terdapat pergolakan berlaku kalangan ahli UMNO-BN sendiri.

Menurutnya, biarpun terdapat ahli BN tidak bersetuju dengan calon tertentu, namun telah sebati dalam diri mereka bahawa calon itu perlu disokong seperti berlaku di PRK Merlimau dan Tenang.

“Pengundi Melayu ramai tidak peka isu semasa, mungkin disebabkan mereka hanya tertumpu media televisyen dan akhbar-akhbar dimonopoli BN,” katanya.

Dalam pemilihan kali ini, Ketua Pas Cawangan Taman Selayang sesi 2011 disandang Mokhtar Husain, jawatan pengerusi diberikan kepada Abdullah Ahmad, manakala Ketua Muslimat cawangan itu masih kekal milik Farhani Tajuddin.

No comments:

Post a Comment