Tuesday, August 9, 2011

Arab Saudi, Kuwait panggil pulang duta di Syria sebagai tanda protes



DAMSYIK 8 Ogos - Arab Saudi dan Kuwait memanggil pulang duta mereka di Syria dalam satu tekanan antarabangsa yang semakin memuncak hari ini selepas tentera negara ini membunuh lebih 50 orang semalam dalam satu tindakan keras kerajaan.
Tindakan mengejut oleh Riyadh itu merupakan kritikan paling lantang oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang pernah ditujukan kepada mana-mana negara Arab sejak satu gelombang protes tercetus di Asia Barat sehingga menyingkirkan autokrat di Tunisia dan Mesir.
"Arab Saudi memanggil pulang dutanya ke Syria bagi berunding. Negara kami juga tidak menerima situasi terkini di Syria kerana perkembangan terbaru itu tidak patut berlaku," katanya dalam satu kenyataan.
Raja Abdullah dalam kenyataan itu turut menggesa Damsyik menghentikan pembunuhan penduduk awam dan pertumpahan darah sebelum terlambat selain menyeru pembaharuan segera dan menyeluruh dilaksanakan.
Pemerintah negara Arab itu turut melabelkan kekejaman Syria sebagai tidak berakhlak dan bertentangan dengan ajaran Islam.
"Ramai penduduk mati syahid, darah mereka telah tumpah dan ramai yang lain cedera. Ini tidak seiring dengan ajaran serta nilai Islam," katanya.
Beliau turut mengingatkan Syria tentang sokongan yang pernah diberikan Arab Saudi kepada Damsyik, tetapi negara Teluk itu katanya perlu membuat satu keputusan 'yang tidak pernah dilakukan sebelum ini'.
Dalam perkembangan terbaru di Syria hari ini, bedilan meriam dan letupan terus kedengaran di bandar Deir el-Zour, timur laut negara ini selepas lebih 300 penduduk awam maut sejak seminggu lepas dalam tindakan keras kerajaan pimpinan Presiden Bashar Assad.
"Bandar ini dibom menggunakan pelbagai senjata berat. Situasi di sini juga amat teruk selepas sembilan hari dikepung.
"Bekalan makanan, ubat, minyak dan susu bayi berkurangan. Bandar ini lumpuh sepenuhnya," kata seorang aktivis. - AFP
utusan

No comments:

Post a Comment