Tuesday, August 9, 2011

Pemilik hotel Makkah tamak

MAKKAH: “Kadar sewa hotel yang mahal memusnahkan harapan saya untuk menghayati Ramadan dalam suasana penuh spiritual di sekitar Masjidil Haram,” kata Muhammad Hussain, jemaah tempatan.
Tidak banyak kamar hotel di Makkah yang kosong sejak Ramadan bermula minggu lalu meskipun kadar sewa yang tinggi dikenakan.

Keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menetap di hotel berhampiran Masjidil Haram kerana sewanya mencecah sehingga SR7,000 (RM5,600) sehari.

Jemaah dari golongan pertengahan biasanya akan mengakhiri ibadah umrah mereka secepat mungkin dan berlepas menuju ke Taif atau Jeddah, yang kadar sewa hotelnya lebih murah, lapor akhbar Al-Riyadh.

Ramai yang mendesak kerajaan mengambil langkah mengekang sikap tamak pemilik hotel.

Kadar sewa hotel pada Ramadan meningkat dua kali ganda dengan purata sewa bilik di hotel satu bintang mencecah SR4,000 (RM3,200) pada 10 hari pertama Ramadan dan dijangka meningkat sehingga penghujung bulan ini. Kadar sewa berbeza, bergantung kepada kategori dan jarak antara hotel dengan Masjidil Haram. Kadar sewa melampau di Makkah berpunca daripada tenaga pasaran, seperti jumlah bilik yang tidak mencukupi.

Lebih 3,000 hartanah, kebanyakannya hotel dan apartmen untuk menempatkan jemaah dimusnahkan ketika kerja meluaskan perkarangan Masjidil Haram.
Walaupun terdapat lebih 700 hotel di lokasi tidak jauh dari zon tengah, alasan utama kadar sewa meningkat mendadak ialah kerana cuti sekolah dan Ramadan bermula serentak tahun ini.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi keluarga Saudi menghabiskan cuti mereka di satu daripada dua tanah suci.

Ini menyumbang kepada kenaikan kadar sewa,” kata pengusaha hotel, Saeed Al- Saleh.

Beliau berharap penyempurnaan projek kediaman seperti Jabal Omar, Abdul Lathif Jameel dan Pembangunan Shamiah Development akan menyediakan lebih banyak kamar hotel dan menurunkan kadar sewa pada tahun akan datang. - Agensi

No comments:

Post a Comment