Tuesday, August 9, 2011

Bekas bendahari Parti Demokrat diberkas







JAKARTA 8 Ogos - Lelaki yang paling dikehendaki kerajaan Indonesia, Muhammad Nazaruddin (gambar) kerana didakwa terlibat dalam pelbagai kes rasuah dipercayai sudah ditangkap.
Nazaruddin yang juga bekas Bendahari Parti Demokrat, pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, ditahan oleh polis antarabangsa di Cartagena, Colombia, semalam.
Menteri Koordinator Bidang Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Djoko Suyanto ketika mengumumkan berita itu berkata, Nazaruddin ditangkap dengan kerjasama polis Indonesia.
Duta Besar Indonesia ke Colombia, kata Djoko, sedang mengenal pasti identiti suspek berikutan ketika ditahan beliau dipercayai menggunakan identiti palsu.
“Ketika ditahan di Cartagena, Colombia, Nazaruddin dipercayai menggunakan foto dan identiti palsu pada pasport dengan nama M. Syahruddin. Ketika ini suspek sudah dibawa ke Bogota, Colombia untuk siasatan lanjut,” kata Djoko pada sidang media, di sini hari ini.
Pada masa sama, Djoko memberitahu wartawan, wakil daripada jabatan Imigresen, polis dan Kementerian Luar Indonesia sudah pergi ke Colombia untuk membantu melancarkan siasatan terhadap Nazaruddin.
Presiden Susilo yang sudah dimaklumkan mengenai berita penangkapan itu, kata Djoko, berpesan agar keselamatan ke atas Nazaruddin dipertingkatkan.
“Kami sudah laporkan kepada Presiden pagi tadi dan beliau sampaikan pesanan agar keselamatan bersangkutan (Nazaruddin) ditingkatkan. Kedua, yang didakwa dibawa ke tanah air untuk diadili,” ujar Djoko.
Nazaruddin yang meninggalkan Indonesia pada 23 Mei lalu dikehendaki oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah negara ini untuk disiasat atas tuduhan rasuah berhubung pembinaan perkampungan atlet di Palembang bagi kegunaan Sukan SEA pada November ini.
Ketika itu, Nazaruddin mendakwa dia ke Singapura untuk menjalani rawatan di salah sebuah hospital di sana. Bagaimanapun, sehingga saat itu, dia tidak kembali ke Indonesia.
Berita penangkapan Nazaruddin dijangka mengakhiri penantian berbulan-bulan lamanya oleh agensi pembanterasan rasuah Indonesia yang sudah beberapa kali memanggil beliau untuk disiasat.
Nazaruddin turut mencetus kontroversi apabila mengaitkan beberapa tokoh politik Indonesia dalam kes rasuah. – Utusan

No comments:

Post a Comment