Tuesday, August 9, 2011

Isu murtad, semua pihak bertanggungjawab



Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh Ustaz Mohd Fadil Yusuf yang memperincikan secara ilmiah dan berhemah tentang gejala murtad yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.Pemikirannya cukup terpimpin dan diolah serta dibahaskan dalam bahasa yang cukup mudah difahami. Saya perturunkan ulasan beliau tanpa sebarang suntingan untuk kita melihat gejala murtad ini daripada kacamata beliau.
Kini sekali lagi masyarakat Islam negara ini riuh kembali berkenaan isu murtad. Isu murtad bukan perkara baru dalam sejarah umat Islam. Bezanya di zaman ini murtad berlaku secara individu. Di zaman Saiyidina Abu Bakar, golongan yang murtad diperangi habis-habisan.

Kerana golongan murtad pada zaman itu membentuk satu 'movement' dalam usaha untuk mengoyah dan menggugat keyakinan umat. Dalam lain perkataan, mereka, golongan murtad berusaha memurtadkan orang lain.
Wujudnya kumpulan (group) golongan murtad dan penyokong murtad di halaman sosial Facebook, juga membimbangkan kita tentang gejala ini. Hinggalah isu terkini tentang adanya usaha pihak tertentu untuk memurtadkan orang-orang Melayu Islam yang nipis keimanannya.
Riuh rendah masyarakat terhadap isu murtad adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Ini membuktikan sensitiviti umat masih ada. Dan itu merupakan sebagai tanda bahawa iman umat masih belum padam, cuma tidak terlalu bersinar. Andainya iman itu benar-benar memancar tentulah sensitiviti itu tidak bermusim dan akan turut peka terhadap berbagai perkara lain yang tidak kurang pentingnya bagi umat Islam.
Sekiranya hati umat Islam sudah tidak merasai apa-apa kesan terhadap soal murtad umpamanya,dibimbangi akan mengalami dua kali bala. Satu pihak menanggung bala murtad, manakala pihak yang lain pula menanggung bala dayus.
Bertambah besar dayusnya apabila terjadinya murtad itu dari angkara pihak lain yang kita berdiam diri kerana takut dan terlalu hendak menghormati pihak lain. Sedangkan pihak yang memurtadkan umat Islam itu tidak pula pernah mahu menghormati umat Islam. Membiarkan kehormatan diri dan anak isteri dicabuli sudah dianggap dayus, apatah lagi membiarkan aqidah umat dicabuli.
Murtad bukan perkara kecil dan tidak boleh dipandang ringan. Penyelesaiannya menuntut kepada mekanisma yang berkesan. Kalau dalam soal lain seperti masalah ekonomi kita menghadapinya dengan segala pelan tindakan yang teliti, terpeinci, rapi dan sempurna, dalam soal murtad ini tidak boleh secara lebih kurang, atau retorika dan slogan.
Kedapatan pula masyarakat Islam yang memilih jalan mudah iaitu menuding kepada pihak lain yang kononnya bertanggungjawab. Dengan cara itu diri sendiri akan dapat berlepas tangan. Dalam hal ini pihak pemerintah dan agensi yang bertanggungjawab sering menjadi sasaran tudingan.
Ada juga yang menuntut supaya diadakan undang-undang, penguatkuasaan dan hukuman oleh pemerintah. Seolah-olah undang-undang dan hukuman itu akan dengan mudah menyelesaikan masalah murtad.
Pada teorinya memang dengan hukuman nampak berkesan, yang kononnya orang lain akan serik dan takut. Namun perlu diingat, realiti tidak sama dengan teori. Buktinya, cuba lihat dalam kes lain yang memang telah sedia ada undang-undang, penguatkuasaan dan hukuman. Sebut sahaja umpamanya dadah, rasuah, rogol dan termasuk kesalahan lalu lintas.
Ramai yang sudah dihukum mati kerana kesalahan mengedar dadah. Ramai yang sudah dipenjara kerana sabit kesalahan rasuah. Mereka yang diberitakan mati kerana gelojoh di jalan raya juga meningkat. Apakah manusia lain mahu serik dan takut? Penagih dadah lebih merana terseksa kerana kesesakan pusat serenti berbanding kesan penagihan. Pengguna jalan raya lebih takutkan saman berbanding accident dan mati di jalanraya.
Ini membuktikan dalam menangani masalah murtad hukuman bukan jalan penyelesaian terbaik. Undang-undang dan penguatkuasaan bukan jalan keluar berkesan yang menjamin tidak berlakunya murtad. Kalau hendak dilaksanakan ianya sebagai tindakan terakhir setelah lebih dahulu dilakukan pendekatan yang lebih utama dan lebih penting.
Islam adalah wahyu Allah SWT yang sempurna, lengkap dan menyeluruh. Islam sentiasa menyediakan jalan keluar kepada apa jua permasalahan. Perlaksanaan Islam secara syumul akan menyelesaikan masalah, memperlihatkan keindahan ajarannya dan turut terasa keindahan Islam itu pada pengamalnya.
Murtad, atau apa saja masalah kehidupan mestilah melalui pendekatan mencegah, mengubati (pemulihan) dan membendung.
A. Mencegah
Mencegah maksudnya menghindari sesuatu itu sebelum ia berlaku. Ini adalah langkah paling penting. Sayangnya pendekatanlah ini yang amat kurang dititikberatkan. Di samping terabai, kalau adapun kurang berkesan. Keberkesanan pencegahan ini akan menjamin tidak berlakunya murtad.
Pencegahan yang berkesan adalah datangnya dari dalam diri manusia itu sendiri. Di sinilah letaknya betapa pentingnya benteng iman dan taqwa dalam hati manusia.
Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka." (Surah Ar Ra'd: 11)
Allah SWT menyebut mengenai perubahan apa yang ada di dalam diri manusia itu' ditujukan kepada sesuatu yang memang sifatnya mudah berubah iaitu hati. Murtad itu bukan datangnya dari anggota lain seperti tangan, kaki, telinga, hidung, mulut atau organ lain. Ianya datang dari hati. Dan hati juga menjadi penggerak atau pemerintah kepada seluruh anggota lain.
Maka benteng yang paling kukuh, utuh dan teguh mestilah datangnya dari hati. Keteguhan benteng itu hanyalah dengan iman dan taqwa. Dengan iman yang utuh, taqwa yang tinggi biar apapun pengaruh yang datang seseorang itu tidak akan menggadai maruah dan aqidahnya. Aqidahnya tidak akan dijual dengan harga secebis cinta atau segunung emas hingga nyawa bercerai dari badan.
Pembinaan iman dan taqwa ini mesti dilakukan sekurang-kurangnya dengan dua kaedah iaitu pendidikan (tarbiyah) dan dakwah.
1. Tarbiyah (pendidikan)
Ini adalah proses ubah ansur pembentukan pegangan, pemikiran dan sikap manusia. Mendidik umat mestilah menjurus kepada penyuburan iman dan taqwa. Sehingga hati umat benar-benar merasai keagungan dan kebesaran Allah. Cinta dengan Syurga dan gerun dengan neraka. Meletakkan agama di atas segala-galanya. Kepentingan Allah dan Rasul-Nya mesti didahulukan dari segala kepentingan lain.
Hafal Rukun Iman serta huraian dan memahami ajaran Islam bukan bererti sudah memiliki iman yang mantap. Hafal dan faham itu hanya terletak di akal bukan di hati. Hati yang merasai gementar terhadap Allah SWT itu barulah dikatakan hati yang terisi dengan iman.
Pendidikan berlaku berterusan yang akhirnya dengan kematian. Memasuki alam persekolahan yang berorentasikan peperiksaan bukan tarbiyah. Itu namanya pembelajaran (taklim). Tarbiyah ini berlaku sama ada secara formal atau informal. Tidak kira apa bentuknya, pokok pangkal mesti membentuk hati yang merasai keagungan Allah SWT. Keluarga, alam persekolahan dan masyarakat adalah unsur yang berperanan dalam menjayakan pendidikan.
2. Dakwah
Dakwah juga mestilah ke arah pembentukan jiwa manusia. Seruan yang tidak terpisah dari tabsyir dan tanzir (khabar gembira dan ancaman) akan lebih berkesan mencorakkan pegangan manusia. Dakwah juga tidak boleh bermusim atau sekadar aktiviti masjid dan persatuan. Dakwah mesti dijadikan sebahagian dari tugas berterusan setiap individu muslim.
Dakwah juga jangan pula hanya rancak saja tanpa matlamat yang jelas. Atau tidak dijadikan gelanggang untuk 'mental exercise' tanpa kesimpulan yang boleh dijadikan pegangan. Pendakwah sepenuh masa mestilah ramai jumlahnya dan diiktiraf setaraf dengan jawatan lain. Cuma, pendakwah perlu memiliki berbagai disiplin, kemampuan dan memenuhi ciri-ciri dan syarat yang sewajarnya.
B. Mengubati (Pemulihan)
Ini adalah "follow-up program" andainya kedapatan umat yang jatuh murtad. Sangat merbahaya memberi ruang kepada berlakunya murtad kemudian baru hendak dipulihkan. Umpama membiarkan penyakit menghinggapi seseorang kemudian baru mencari ubat untuk penyembuhan. Tiada jaminan pemulihan atau mengubati ini mendatangkan kesembuhan.
Berlakunya murtad kerana pencegahan tidak berkesan atau terabai. Apa pula jaminan pemulihan akan berjaya sekiranya pencegahan berlaku banyak kelemahan. Walaupun demikian semua pihak termasuk pemerintah perlu membentuk mekanisma yang membolehkan pesalah murtad dipulihkan secara sistematik. Tentulah bahaya murtad lebih memerlukan pemulihan berbanding bertungkus lumus mengendalikan kesalahan lain.
C. Membendung
Andainya setelah pendekatan pertama dan kedua telah diusahakan bersungguh-sungguh, berlaku juga umat terjerumus kepada murtad maka langkah terakhir ini perlu diambil. Membendung ertinya tidak membenarkan berlaku pertambahan jumlah atau merebak. Mesti dijauhi dari berjangkit kepada individu lain.
Seperti juga dengan kesalahan lain seperti zina yang dihukum rejam dan mencuri dipotong tangan, maka murtad menurut pendapat ulama adalah dihukum bunuh, yang perlaksanaannya adalah langkah terakhir. Perlaksanaan hukuman ini setelah terlebih dahulu masyarakat dididik, di dakwah, diajar dan segala ruang kemungkaran telah ditutup.
Keluarganya sempurna, kasih sayang sudah merata, tiada tekanan hidup, pengaruh luar sudah dibanteras, masyarakat juga sudah berlaku adil, andainya masih tidak mahu insaf, barulah hukuman dijalankan. Hukuman itu dilakukan sebagai iktibar kepada yang lain. Ini hanya dalam keadaan masyarakat itu sendiri bersifat mahu mengambil iktibar.
Berlaku di sebuah negara jiran yang penduduknya majoriti umat Islam. Para ulama sering mengadakan dialog dengan pihak kristian. Setiap kali dialog, kemenangan dan kebenaran jelas berpihak kepada para ulama. Di sana Islam juga sering dijadikan sasaran fitnah. Semua fitnah itu dijawab oleh para ulama dengan hujah yang konkrit. Jaguh pidato lantang dan mengasyikkan pendengar. Pidato mereka sangat memukau dan membius masyarakat umum.
Di tengah-tengah kehebatan pidato dan kejituan hujah, bertambah ramai jumlah umat Islam menukar agama kepada Kristian dan lain-lain ajaran. Mengapa terjadi demikian sedangkan Islam itu jelas benarnya melalui hujah dan pidato?
Jawabnya ialah umat Islam memang handal dalam bercakap tetapi kosong pada tindakan. Biarpun mereka tidak menang hujah dan tidak jaguh dalam pidato, namun mereka masuk kampung, panjat bukit, meredah hutan, meranduk paya dan lumpur. Mereka menabur budi dan kebaikan. Mereka berbakti kepada masyarakat. Mereka meratakan kasih sayang. Mereka bukan sekadar mengubati kurap, panau, kudis buta dan tokak anak-anak pedalaman. Tetapi mereka juga mengubati luka dan bengkak hati lantaran tidak dipedulikan dan tiada kasih sayang.
Masyarakat dahagakan bimbingan, pimpinan, kemesraan, kelunakan dan kasih sayang. Apa yang mereka perolehi dari kalangan Islam ialah kutukan, maki hamun, sumpah seranah, tuduhan dan cercaan. Kata-kata seperti jahil, fasik, kafir, bodoh, lembab, lemah akal, kolot sering mereka dengar. Tiada siapa yang mahu mendampingi mereka.
Kalau diundang berceramah, kos, ongkos dan envelope yang diperhitungkan. Sepatutnya yang bergelar pejuang semakin pokai papa kedana. Sebaliknya "08.00am-05.00pm" menjadi asasnya, yang selebihnya adalah tuntutan elaun ditambah lagi dengan envelope masyarakat bawahan. Tidak hairan mengapa kes murtad banyak berlaku sebenarnya. Cuma yang mengisytiharkan murtad saja yang sedikit.
Marilah kita berbuat apa yang kita boleh buat dan jangan menuding kepada pihak lain. Kita tidak tahu hari ini anak orang lain, mungkin suatu hari nanti suku sakat kita pula. Pemerintah ada bahagian dan tanggungjawabnya. Kita juga tidak akan mudah lepas tangan begitu saja. Sama-sama berganding bahu kerana semua kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Akhirat nanti.



Dipetik daripada blog sanggahtokjanggut
-SH

No comments:

Post a Comment