Tuesday, August 9, 2011

Penduduk trauma pulang ke rumah



CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos - Beberapa penduduk di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini mengakui, mereka kini takut untuk kembali dan tinggal di kawasan penempatan sedia ada.
Menurut penduduk yang rata-ratanya Suku Semai, tragedi tanah runtuh yang meragut tujuh nyawa penduduk semalam menimbulkan kebimbangan buat mereka.
Abu Balad, 31, berkata, kejadian pukul 5.45 petang semalam menyebabkan dia kehilangan adik dan anak saudara.
"Saya bimbang untuk pulang ke kampung kerana kejadian sama mungkin berulang," katanya yang kini tinggal sementara di Dewan Serbaguna Brinchang.
Menurut Abu, kejadian semalam memang mengejutkan mereka malah tidak pernah difikir oleh penduduk di perkampungan itu.
Ketua Kampung Sungai Ruil, Tok Batin Kadir Asan, 32, berharap kerajaan akan mencari penempatan baru bagi menempatkan penduduk kampung berkenaan.
Kadir turut menolak tragedi semalam berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah di atas bukit berkenaan.
"Tidak ada aktiviti manusia. Hanya hutan dan semak-samun," katanya.
Pada masa ini seramai 594 penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Ruil masing-masing 309 dewasa dan 282 kanak-kanak ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Brinchang.
Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil yang terletak kira-kira dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata mempunyai 145 buah rumah didiami kira-kira 1,300 penghuni dan merupakan antara perkampungan Orang Asli paling awal wujud di daerah ini.
Ia juga terkenal sebagai destinasi pelancongan dengan menawarkan program inap desa.-utusan

No comments:

Post a Comment