JAKARTA: Seorang lelaki mirip penggubal dasar Indonesia yang diburu polis, Muhammad Nazaruddin, mungkin sudah ditangkap pihak Interpol di Cartagena, Colombia, kelmarin, menurut seorang pegawai Indonesia, semalam.Pihak berkuasa Indonesia bagaimanapun bersikap optimis tetapi berhati-hati terhadap pendedahan itu. Versi dalam talian akhbar Jakarta Globe melaporkan bahawa Menteri Penyelaras Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Indonesia, Encik Djoko Suyanto, telah membuat pengumuman itu semalam.Encik Suyanto dipetik oleh akhbar itu sebagai berkata bahawa beliau telah menerima maklumat itu daripada Duta Besar Indonesia ke Colombia, Encik Michael Manufandu.Menurut Encik Suyanto, lelaki berkenaan, yang sangat mirip bekas bendahara umum Parti Demokrat itu, telah ditangkap kerana memiliki pasport palsu semasa cuba meninggalkan negara tersebut. Pasport itu dikeluarkan atas nama M. Syafruddin.Duta Besar berkenaan telah ke Cartagena dan bertemu suspek. Encik Suyanto berkata beliau telah mengesahkan lelaki itu mirip Nazaruddin.Suspek berkenaan dilaporkan telah meminta duta besar itu menyediakan pengawal keselamatan sepenuh masa.Wakil dari Pejabat Imigrasi, Polis Kebangsaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Kementerian Luar Indonesia sedang bersiap ke Colombia malam tadi atau pagi ini bagi mengesahkan identiti suspek itu, kata Encik Suyanto seperti yang ditukil Jakarta Globe, petang semalam.Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah diberitahu, tambah beliau, dan telah mengarahkan supaya keselamatan suspek dikawal rapi dan bahawa dia harus dibawa pulang untuk disoal siasat.Nazaruddin meninggalkan Indonesia sejak 23 Mei lalu, dengan alasan menjalani rawatan di Singapura dan tidak pulang ke Indonesia setelah didakwa terlibat dalam kes rasuah membabitkan Kementerian Pemuda dan Olahraga dan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia.-cyberita
No comments:
Post a Comment