Ketua Parti Komunis China di Xinjiang, Zhang Chunxian adalah pegawai kanan yang berikrar tiada belas kasihan akan ditunjukkan terhadap pencetus kekacauan di wilayah barat China itu.
Pegawai kerajaan menuduh puak militan Uighur melancarkan dua serangan maut pada akhir bulan lepas, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 42 lagi cedera di bandar Kashgar.
"Bagi membendung serangan pengganas baru-baru ini, kita perlu mengenakan tekanan paling hebat ke atas mereka," kata Chunxian ketika berucap kepada anggota parti itu pada Jumaat lalu, menurut laman web kerajaan wilayah.
Beliau turut menggesa sekatan dikenakan terhadap 'kegiatan agama yang menyalahi undang-undang' dan tumpuan diberikan kepada usaha memelihara kestabilan.
Ketua polis China, Meng Jianzhu juga mengeluarkan kenyataan serupa dengan berkata, China tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang menjalankan kegiatan pengganas.
Pada awal bulan ini, pasukan keselamatan dikerahkan ke seluruh kawasan utama di Kashgar, beberapa hari selepas meletus keganasan yang menonjolkan ketegangan etnik di wilayah yang diduduki penduduk Uighur beragama Islam itu.
Dalam serangan itu, penyerang etnik Uighur menggempur sebuah restoran, membunuh pemiliknya dan seorang pelayan, sebelum menetak empat orang sampai mati di sebatang jalan berdekatan. - Reuters. utusan
No comments:
Post a Comment