Tuesday, August 9, 2011

Saksi nampak objek hitam berpusing



Jenazah tiga beranak yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli di Sungai Ruil, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Taman Sedia, Cameron Highlands, semalam.


CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos – Seorang saksi memberitahu, dia nampak satu objek hitam (tanah) berpusing-pusing di atas bukit sebelum ia tiba-tiba meletup dan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.
Serentak itu, kata saksi tersebut, tanah di puncak bukit mula merekah dan perlahan-lahan bergerak menghempap serta menghanyutkan beberapa rumah penduduk di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini semalam.
Faridah Anjang Bah Besar, 18, berkata, objek hitam itu jelas kelihatan walaupun ketika itu hujan lebat.
“Ketika itu, saya sudah berada di rumah datuk yang terletak di kawasan lebih tinggi selepas diarahkan oleh ibu supaya mengumpul dokumen dan berpindah ke tempat lebih selamat kerana khuatir akan berlaku banjir.
“Apabila melihat tanah mula bergerak, kami menjerit meminta ibu segera keluar dari rumah, manakala ayah yang berada di ruang tamu ditimbus tanah,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini.
Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan bahagian depan rumah yang didirikan menerusi program bantuan kerajaan musnah, tetapi hampir mengorbankan bapanya yang tertimbus di dalam tanah sebelum diselamatkan penduduk.
Ditanya sama ada keluarga itu sudah menghidu sesuatu yang buruk akan berlaku apabila sempat berpindah ke rumah datuknya, Faridah memberitahu, persiapan dilakukan kerana keadaan hujan pada petang itu sangat ‘pelik’.
Sementara itu, Aida Uda, 29, berkata, dia nampak air besar bergulung-gulung dari atas bukit membawa batang pokok menyambar rumah-rumah yang berada di sepanjang lereng itu.
“Saya sedang tidur bersama dua anak sebelum terdengar satu letupan kuat sehingga menyebabkan rumah mereka bergegar.
“Kami terus bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Brinchang dekat sini.
Minah Bahu, 50, pula berkata, ketika kejadian dia bersama 11 lagi ahli keluarga berada dalam rumah.
“Bunyi letupan itu sangat kuat dan masing-masing menjerit meminta keluarga berlari menyelamatkan diri ke luar.
“Kami cuba membantu mangsa yang tertimbus namun hanya menjumpai tiga sahaja manakala yang lain gagal ditemui,” katanya.
Seorang penduduk, Temoh Bacai, 41, pula memberitahu, hujan lebat antara pukul 5 hingga 6 petang itu menyebabkan laluan untuk keluar ke jalan utama turut dinaiki air.
Keadaan ini, katanya, menyukarkan pasukan penyelamat memberikan bantuan.
“Kami terpaksa bergilir-gilir mengusung mangsa meredah banjir untuk menaiki ambulans yang terkandas akibat jalan dinaiki air.
“Salah seorang mangsa iaitu Normadiah Lasik masih hidup ketika ditemui namun dia meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital,” katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment