Tuesday, August 9, 2011

Sultan Selangor tegah berpolitik di kampus

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah



UNISEL patut perkasa pelajar bangunkan negeri
KUALA SELANGOR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menitahkan profesor dan pensyarah di Universiti Selangor (UNISEL) tidak berpolitik dalam kampus sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap tugas mengajar. Baginda berharap politik kepartian tidak dicampuradukkan dalam pengajaran kerana ia akan merugikan masa yang sangat berharga kepada pelajar untuk kejayaan masa depan.< “Amatlah merugikan jika seseorang pelajar membuang masa berpolitik dan tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik. Sesungguhnya masa itu emas.
“Beta tidak berkenan orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik dalam kawasan UNISEL,” titah baginda ketika merasmikan Masjid UNISEL di Kampus Bestari Jaya di sini. Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pemangku Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Anuar Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Hussin. Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah UNISEL adalah tempat untuk belajar, berbincang dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat uji kaji, penyelidikan dan eksperimen mengenai sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan taraf industri di Selangor. Titahnya, usaha itu harus dilakukan demi kemajuan negeri ini pada masa akan datang agar dapat bersaing dengan negeri maju lain di dunia ini.
“Apabila politik dicampuradukkan dengan pelajaran akademik, kemungkinan besar ada ibu bapa yang tidak gemar perkara itu dan tidak akan menghantar anak mereka ke universiti ini untuk melanjutkan pelajaran. “Sekiranya ini berlaku, ia akan merugikan universiti ini dan kawasan Bestari Jaya kerana industri sokongan tidak dapat berkembang dan dikhuatiri universiti ini menjadi gajah putih,” titahnya. Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda sudah menerima aduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di kampus UNISEL itu dan tidak mahu ia berterusan kerana jika UNISEL gagal, ia akan merugikan kewangan kerajaan negeri. Baginda bertitah, semua pihak pengurusan tertinggi UNISEL, ahli lembaga pengarah, dekan fakulti dan pensyarah UNISEL mesti bekerjasama dalam usaha menaikkan taraf UNISEL sebagai sebuah universiti terbaik dari segi teknologi, operasi dan pengurusan kewangan. bharian

No comments:

Post a Comment