Monday, July 9, 2012

Bapa 6 anak derita usus pecah

Bapa 6 anak derita usus pecah - Terengganu - Sinar Harian:

Bapa 6 anak derita usus pecah
Anak melihat pek yang dilekatkan di perut bapa mereka yang terpaksa membuang air mengikut perut selepas usus pecah pada April lalu
KEMAMAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Akibat usus pecah seorang bapa enam anak dekat sini hanya mampu terbaring di atas kerusi dengan perut pula terpaksa ditebuk sebagai saluran untuk membuang air besar.

Ibarat dugaan datang silih berganti Awang Ali Muda, 53, sebelum ini terpaksa pencen lebih awal sebagai tukang rumah selepas tangan kanannya terkena mesin memotong kayu hingga urat tangannya putus tiga tahun lalu.

Isterinya, Timah Ismail, 50, berkata, keadaan usus suaminya pecah diketahui ketika melakukan imbasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas suaminya itu mengalami sakit perut.

Katanya, suaminya dibedah pada 29 April lalu dan ditahan di hospital selama 10 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Ketika dibedah najis telah bercampur di dalam perut.Suami ketika itu perlu membuang air besar menerusi perut dan diletakkan pek di perutnya. “Bila usus sudah pulih sepenuhnya, suami perlu menjalani satu lagi pembedahan agar dia dapat buang air menerusi usus seperti sediakala,” katanya ketika dikunjungi Khamis lalu.

Menurutnya, suaminya itu perlu ke HSNZ semula pada 17 Julai depan untuk melihat perkembangan kesihatannya.

Kata Timah, bagaimanapun sejak terpaksa membuang air besar melalui perut perbelanjaan yang ditanggung mereka sedikit bertambah kerana pek yang berharga RM5 perlu diganti setiap hari sedangkan mereka dua beranak hanya mengharapkan duit belanja dihulurkan anak-anak yang masih tinggal serumah dengan mereka. Walaupun begitu, Timah tetap bersyukur kerana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat prihatin dan atas usaha JKKK juga mereka mendapat sumbangan sebanyak RM200 daripada Pejabat Ahli Parlimen Kemaman.

Kesusahan yang ditanggung juga sedikit berkurangan kerana Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera bersama rombongan JKKK dan Umno Cawangan Seri Berenjut turut menziarah Awang Ali sekeluarga dan menyampaikan sumbangan wang bagi meringankan beban.

Rombongan itu turut disertai Pengerusi JKKK, Yusof Mahmud; Ketua Cawangan Umno Seri Berenjut, Tajudin Madzlan dan Naib Ketua Pemuda Umno Seri Berenjut, Adnan Othman

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment