Berita Harian | Empat beradik tak bersekolah:
DUNGUN: Empat beradik dari Kampung Nyior, Paka, dekat sini hanya mampu melihat rakan sebaya ke sekolah yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mereka.
Zulfitri Zuki, 13; Norsyafikah, 11; Nasarudin, 9, dan Nazihan, 7, tidak dapat menimba ilmu berikutan tiada sijil kelahiran selepas bapa mereka, Zuki Hashim, 45, gagal menjelaskan bil hospital ketika empat beradik itu dilahirkan. “Kami juga mahu jadi seperti kanak-kanak lain, bangun pagi dan ke sekolah. Kami malu dengan kawan yang pandai menulis dan membaca. Kami tak pandai sangat mengira, membaca dan menulis seperti mereka yang bersekolah, sedikit sebanyak bolehlah,” kata Norsyafikah.
Belajar sendiri
Empat beradik itu berusaha sendiri belajar membaca dan menulis daripada rakan yang datang ke rumah, malah Norsyafikah pernah berhasrat membawa adiknya memerhati murid lain belajar, tetapi tidak diteruskan kerana bimbang tidak disenangi guru dan kakitangan sekolah.
Sementara itu, Zuki berkata, beliau pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di negeri ini untuk menyelesaikan masalah pendaftaran kelahiran empat beradik itu, tetapi diminta ke Ibu Pejabat JPN di Kuala Lumpur bersama surat pengesahan kelahiran dari hospital.
“Saya sedang mengumpul wang untuk bayar bil hospital dan membiayai tambang ke Kuala Lumpur bagi urusan pendaftaran kelahiran mereka,” katanya yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan beristerikan warga Indonesia, Suharni Basir, 43.
Zuki dan keluarganya yang menetap di kampung berkenaan sejak 12 tahun lalu dengan menyewa rumah RM200 sebulan berkata, pendapatannya yang kecil menyebabkannya gagal menjelaskan bil hospital, manakala pendapatan bulanan isteri sebagai pembantu kedai makan tidak menentu menyukarkan lagi usahanya untuk mengumpul wang.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment