2012/12/21
Penduduk dan anggota pemberontak berkumpul selepas menguasai bandar Halfaya.
Setiausaha Agung PBB tak jangka dialog bawa perdamaian
New York: Konflik Syria yang berlangsung 21 bulan belum ada harapan untuk tamat, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.
Beliau memberi pandangan itu ketika dialog politik bermula antara kerajaan Syria dan penentangnya.
Ketika mengadakan sidang akhbar kelmarin, Ban berkata, satu-satunya cara menyelesaikan konflik itu adalah menerusi persetujuan politik.
Tidak bersepakat
Berikutan itu, beliau sekali lagi menggesa anggota Majlis Keselamatan yang tidak bersepakat mengenai penyelesaian isu berkenaan supaya cuba mencari persetujuan bersama.
Ban juga menekankan, persetujuan bersama itu boleh memberi semangat politik yang kuat kepada dua pihak yang berperang di Syria.
“Syria memulakan tahun ini dengan konflik dan menamatkan tahun ini dengan perang. Kesan buruknya kepada negara serantau dirasai setiap hari dan bulan,” kata Ban.
Dalam perkembangan terbaru, pemberontak Syria menawan enam lagi bandar di wilayah Hama.
Seorang anggota kanan pemberontak, Qassem Saadeddine, berkata kawasan barat Hama ditawan pemberontak.
Tawan enam bandar
Bandar yang ditawan termasuk Latamneh, Helfaya, Kfar Naboudah, Hasraya, Tibat al-Imn dan Kfar Zita manakala pertempuran sedang berlangsung di tengah Hama, katanya.
Di Beirut, badan hak asasi manusia Syria melaporkan, lebih 44,000 orang terbunuh dalam konflik di Syria sejak pemberontakan meletus pada Mac tahun lalu.
“Sekurang-kurangnya 44,063 orang terbunuh dalam tempoh 21 bulan lalu,” kata Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman.
Selain itu, katanya, 784 identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti manakala korban lain membabitkan 30,819 orang awam, 1,482 orang yang belot dan 10,978 askar.
Badan itu menetapkan pihak bukan tentera yang mengangkat senjata terhadap pemerintah sebagai orang awam. - AFP
No comments:
Post a Comment