Friday, December 21, 2012

Penduduk New Jersey serah ribuan senjata api




NEW JERSEY 20 Dis. - Penduduk di New Jersey yang turut merasa tempias tragedi tembakan rambang di Sekolah Rendah Sandy Hook minggu lalu di Connecticut, bertindak menyerahkan senjata mereka dalam satu skim penjualan yang diperkenalkan negeri itu hujung minggu lalu.

Sepanjang tempoh dua hari bermula Jumaat dan Sabtu lepas, kira-kira 1,137 senjata api dikumpulkan di dua buah gereja di Camden, di sini, sebuah bandar dianggap paling berbahaya di Amerika Syarikat (AS).

Menurut jurucakap polis Camden, Paul Loriquet, pihaknya dimaklumkan bahawa ramai penduduk di bandar tersebut secara sukarela mahu menyerahkan senjata mereka menerusi skim tersebut.

"Penyerahan senjata itu dibuat sebagai reaksi kepada kejadian di Sandy Hook yang mengorbankan 28 nyawa," katanya dalam satu temu bual dengan akhbar dalam talian, Philly.com.

Jelas beliau, antara senjata api yang diserahkan adalah raifal, pistol, senjata api antik dan senapang gajah dengan 90 peratus daripadanya masih boleh digunakan.

Media tempatan, NJ.com melaporkan, orang ramai menerima antara AS$25 (RM75) hingga AS$250 (RM750) bagi setiap senjata yang diserahkan.

Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama semalam menggesa pasukan khas diketuai Naib Presiden, Joe Biden supaya mengeluarkan usul konkrit berhubung undang-undang pemilikan senjata dalam tempoh sebulan berikutan tragedi Sandy Hook.

"Saya akan menekankan mengenai perkara ini dan berbincang mengenainya bersama ahli Kongres.

"Saya juga ingin memberitahu bahawa saya memandang serius masalah ini dan akan berbuat sesuatu," katanya.

Tambahnya, beliau juga mahu Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA) yang memberi tekanan kepada Dewan Perwakilan AS tentang hak asasi senjata supaya mempertimbangkan semula keutamaan mereka dalam isu berkenaan. - AGENSI/AFP



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121221/lu_03/Penduduk-New-Jersey-serah-ribuan-senjata-api#ixzz2Ff935CaK
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment