ISLAMABAD: Persatuan ulama Pakistan akan mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara itu sebagai menentang pembunuhan pekerja kempen pembanterasan polio.
Serangan berkenaan menyebabkan sembilan pekerja terbunuh dalam masa dua hari lalu. Tahir Ashrafi yang mengetuai Majlis Ulama Pakistan berkata, 24,000 masjid yang bersekutu dengan organisasinya akan berkhutbah menentang pembunuhan pekerja kesihatan pada solat Jumaat.
“Baik budaya masyarakat Pakistan mahupun undang-undang Islam, tindakan seumpama itu tidak dibenarkan. “Jauh sekali melakukan kesalahan, remaja perempuan yang dibunuh itu adalah pejuang syahid kerana mereka berkhidmat kepada kemanusiaan dan Islam,” katanya.
Kenyataan Tahir itu adalah isyarat jelas bahawa sesetengah ulama yang berkuasa di Pakistan sanggup menyahut cabaran anggota militan.
Kumpulan lelaki bersenjata yang menunggang motosikal membunuh sembilan pekerja kempen antipolio minggu ini, termasuk seorang lelaki yang mati akibat kecederaan semalam. Beberapa mangsa yang mati adalah remaja perempuan.
Ekoran keganasan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menarik balik semua kakitangan yang terbabit dengan kempen itu.
Kerajaan Pakistan turut menggantung kempen berkenaan di beberapa bahagian negara itu. - Reuters
No comments:
Post a Comment