Washington: Presiden Barack Obama berdepan kemarahan kumpulan pro-Israel, neokonservatif selain anggota Kongres kerana mencalonkan bekas senator Republikan, Chuck Hagel, untuk jawatan Setiausaha Pertahanan.
“Pencalonan ini mungkin menjadi racun kepada Rumah Putih. Adakah mereka benar-benar mahukan perkara ini menjadi isu pada awal penggal kedua,” kata seorang tokoh dasar luar Republikan di Senat.
Akhbar Washington Post turut mengisytiharkan Hagel bukan pilihan tepat.
Ia membidas Hagel kerana menyokong potongan pertahanan dan menyifatkannya ketinggalan dalam isu Iran kerana meragui kekerasan wajar untuk menghentikan program nuklear Tehran.
Selain itu, ramai pemimpin Republikan memandang serong terhadap Hagel kerana tidak menyokong kempen ketenteraan di Iraq.
Hagel tidak menyokong Republikan mengenai pendekatan menyelesaikan masalah kewangan negara.
Obama dikatakan selesa dengan Hagel. Mereka bersama melawat Asia Barat ketika kempen pilihan raya 2008.
Kumpulan Yahudi Amerika liberal, J Street, turut terkejut dengan tindakan mempersoalkan komitmen Hagel terhadap Israel dan keamanan di Asia Barat.
Walaupun enggan membincangkan rekod Hagel mengenai Israel, jurucakap Rumah Putih, Jay Carney, memberitahu wartawan Khamis lalu presiden cenderung untuk mencalonkan Senator Hagel.
Pejabat Hagel masih membisu dan tidak memberikan sebarang kenyataan. - REUTERS
No comments:
Post a Comment