2013/04/02 -
Gambar fail menunjukkan penduduk Palestin menunaikan solat di kawasan luar Masjid Al-Aqsa selepas mereka dilarang memasukinya. - Foto AFP]
Pendatang Yahudi bersikap biadab, benar anak perempuan kencing di halaman masjid
Baitulmaqdis: Perkelahian berlaku antara penduduk Palestin dan sekumpulan pendatang Yahudi apabila mereka bersikap biadab dengan minum minuman keras dan membenarkan seorang kanak-kanak perempuan membuang air kecil di pekarangan Masjid Al-Aqsa kelmarin.
Pergaduhan menyebabkan polis Israel menahan sekurang-kurangnya 10 jemaah Palestin dan melarang umat Islam daripada memasuki masjid berkenaan.
Polis menahan 10 penduduk Palestin dan menyerang jemaah itu dengan baton kejutan elektrik” Saksi
Pihak berkuasa Israel sebelum itu membenarkan kemasukan kira-kira 280 pelampau Yahudi dengan dilindungi polis dan enam polis Israel yang menyamar ke pekarangan masjid al-Aqsa, menaikkan kemarahan jemaah Palestin.
Seorang pendatang Yahudi meminum wain dan seorang lagi membenarkan anak perempuannya membuang air kecil berhampiran pokok zaitun di pekarangan masjid, kata mereka.
Perbuatan pendatang Yahudi menyebabkan pengawal Al-Aqsa masuk campur sehingga mencetuskan perkelahian.
“Berpuluh-puluh peneroka Yahudi menyerbu masjid berkenaan dari arah pintu pagar al-Magharbeh,” kata saksi.
Tutup pagar al-Magharbeh
Pengarah Khazanah Islam di Baitulmaqdis, Sheikh Azzam al-Khatib, berkata 200 peneroka Israel memasuki masjid dengan cara biadab, menyebabkan pegawai agama memaksa polis Israel menutup pagar al-Magharbeh hari itu.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld, berkata enam jemaah Palestin ditahan kerana membaling batu ke arah kumpulan Yahudi dan Kristian yang melawat masjid berkenaan.
Saksi berkata, polis menahan 10 penduduk Palestin dan menyerang jemaah itu dengan baton kejutan elektrik. Polis Israel juga menyerang wanita dan pekerja dengan belantan.
Sementara itu, berpuluh-puluh peneroka Yahudi kelmarin memecah masuk ke pekarangan sejarah dan budaya Solomon Pool terletak antara bandar al-Khader dan kampung Irtas, di selatan Baitulaham.
Jurucakap polis Israel berkata, lawatan seterusnya oleh kumpulan Yahudi dan Kristian dijadualkan tengah hari kelmarin dan akan diteruskan seperti dirancang.
Masjid Al-Aqsa antara kawasan suci Islam. Yahudi turut menganggap kawasan itu, dikenali Temple Mount, sebagai lokasi agama yang penting.
Pejabat Presiden Palestin, dalam kenyataan kelmarin, mengutuk tindakan peneroka menceroboh al-Aqsa, menahan beberapa jemaah Palestin, selain pencerobohan ke kawasan bersejarah di Baitulaham oleh peneroka Yahudi. - AGENSI
No comments:
Post a Comment