Kapal pemusnah AS di perairan Korea Selatan
Kapal USS Fitzgerald kini berada di luar perairan Korea Selatan.
SEOUL - Amerika Syarikat (AS) menempatkan kapal pemusnah yang mampu memintas dan menembak roket, berhampiran perairan Korea Selatan.
   
Dipetik AP, pegawai AS berkata, kapal pemusnah USS Fitzgerald meneruskan pelayaran ke Semenanjung Korea dan bukannya ke pangkalan AS di Jepun bagi menyertai latihan tahunan tentera bersama Korea Selatan.

“Penghantaran USS Fitzgerald diperlukan bagi menawarkan pilihan dalam menangkis serangan misil sekiranya perang tercetus,” katanya.

Jurucakap Rumah Putih, Jay Carney berkata, Pyongyang mempunyai pilihan untuk terus melakukan provokasi atau berdamai dengan AS dan Seoul.

Sementara itu, Korea Utara mengesahkan telah mengaktifkan reaktor nuklear Yongbyon bagi kemudahan sumber plutonium dan uranium yang akan digunakan sekiranya perang meletus.

Jurucakap Kementerian Luar Korea Selatan, Chao Tai-Young berkata, sekiranya laporan itu sahih maka Korea Utara disahkan melanggar perjanjian Perang Korea kerana dalam perjanjian tersebut loji berkenaan perlu ditutup bagi kepentingan bersama.

“Kerajaan akan terus memantau keadaan ini dengan bantuan AS.Tentera kami berada dalam keadaan siap siaga sekiranya Pyongyang melakukan serangan,” katanya.