Wednesday, April 3, 2013

Polis Kedah nafi guna kekerasan



 
Alor Setar: Polis Kedah menafikan dakwaan beberapa laman blog kononnya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, menggunakan kekerasan terhadap seorang suspek kes curi motosikal sehingga menyebabkan lelaki berusia 25 tahun itu koma.

Penafian itu dibuat Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab, selepas siasatan mendapati maklumat disebarkan melalui blog disahkan palsu dan tidak berasas.
Katanya, dakwaan kononnya anggota polis memukul atau mendera suspek ketika berada di lokap tidak benar sama sekali kerana lelaki itu belum disoal siasat selepas ditahan di pasar malam Taman Selasih, Kulim, Jumaat lalu.

“Lelaki itu dipercayai dibelasah kira-kira 30 orang awam sehingga cedera termasuk di kepala sebelum diserahkan kepada polis.

Cedera di kepala

“Dia dibawa ke IPD Kulim dan apabila mendapati dia cedera dan lemah, suspek dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan kini masih koma, dipercayai akibat kecederaan dalam kepala,” katanya.

Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang hingga menyebabkan kecederaan dan Seksyen 379A dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cuba mencuri.
Abdul Ghafar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan segelintir penulis blog yang cuba menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat terhadap polis dengan menyiarkan laporan tidak benar mengenai kejadian itu.

No comments:

Post a Comment