NEW DELHI 1 April - Satu tinjauan mendapati, jumlah pelancong wanita asing ke India menurun sebanyak 35 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu ekoran beberapa kes serangan seksual di negara ini.
Tinjauan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri India (ASSOCHAM) itu menunjukkan, jumlah keseluruhan pelancong asing ke India menurun sebanyak 25 peratus mengikut kiraan dari tahun ke tahun.
Setiausaha Agung ASSOCHAM, D.S Rawat berkata, penurunan itu disebabkan pelancong memilih negara Asia lain seperti Malaysia dan Thailand sebagai destinasi percutian.
Katanya, tahap keselamatan yang teruk merupakan punca utama penurunan jumlah pelancong ke India, selain faktor kelembapan ekonomi dunia pada ketika ini.
"Keadaan itu diburukkan lagi apabila kebanyakan kerajaan menasihati rakyat mereka supaya berhati-hati dan tidak melawat India," katanya.
Disember lalu, seorang pelajar wanita India berusia 23 tahun terbunuh selepas dirogol beramai-ramai oleh enam lelaki di dalam sebuah bas di New Delhi, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai yang bimbang terhadap keselamatan golongan itu.
Bulan lalu, seorang wanita Switzerland dirogol beramai-ramai di negeri Madya Pradesh ketika mengikuti rombongan berbasikal bersama suaminya, manakala seorang wanita Korea Selatan mendakwa dia dirogol oleh anak pemilik hotel, tempat dia menginap pada Januari lalu.
Menurut Rawat, insiden-insiden terbabit mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pelancong wanita asing di India.
Katanya, hampir 72 peratus daripada 1,200 operator pelancongan di bandar-bandar di negara ini, melaporkan banyak pelancong asing membatalkan lawatan ke India dalam tempoh tiga bulan lalu, terutamanya pelancong wanita dari Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.
Kajian berkenaan dilakukan ketika kerajaan berusaha untuk mempromosi industri pelancongan dalam kegawatan ekonomi di India. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130402/lu_07/Pelancong-wanita-asing-ke-India-menurun#ixzz2PNbDtDqA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment