Wednesday, April 3, 2013

Muhammad Ridhwan ditahan bawah SOSMA



Muhammad Ridhwan Sulaiman yang dikehendaki pihak polis berkaitan pencerobohan pengganas di Lahad Datu, membawa dokumen sewaktu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 1 April - Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah, Muhammad Ridhwan Sulaiman yang namanya diumumkan polis sebagai individu dicari untuk membantu siasatan berhubung pencerobohan pengganas di Sabah semalam, ditahan semasa menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini.
Muhammad Ridhwan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang difahamkan selama tujuh hari.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika ditemui dalam satu majlis berasingan di Shah Alam hari ini mengesahkan penahanan lelaki tersebut.
"Dia (Muhammad Ridhwan) ditahan reman bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kerana polis mempunyai masa selama 28 hari untuk menahan serta melakukan siasatan berhubung kes itu," katanya.
Terdahulu, Muhammad Ridhwan yang hadir di IPD tersebut pada pukul 11.05 pagi bersama kenalan dan peguamnya memberi keterangan hampir enam jam.
Beliau kemudian dilihat dibawa keluar dari IPD itu dengan menaiki sebuah dari enam kereta pegawai penyiasat pada pukul 5 petang dan difahamkan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Muhammad Ridhwan ketika ditemui sebelum memasuki IPD tersebut untuk menyerah diri berkata, beliau terpanggil memberi kerjasama kerana gambarnya dikeluarkan di media-media massa dan mahu membuat penjelasan tentang perkara sebenar tentang dakwaan terbabit.
Beliau yang sekali lagi menegaskan tidak pernah terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas, menafikan pernah memberi dana kepada Jamalul Kiram.
"Saya sendiri berdiri di belakang kerajaan dan bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri yang tidak akan membiarkan bumi Malaysia ini seinci pun dijajah.
"Saya sendiri tidak mengenali Jamalul Kiram kerana dia berada di kepulauan Tawi-Tawi. Saya tidak pernah bertemu dengannya.
"Saya hanya mengenali Muedzul-Lail Kiram dan hanya memberi bantuan kewangan kepada dia sahaja," katanya.
Semalam Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib meminta lelaki bergelar 'Datuk Seri' itu segera menyerah diri kerana amat dikehendaki pihak berkuasa.
Muhammad Ridhwan seterusnya mendakwa, Muedzul-Lail Kiram yang dikenalinya adalah pewaris sah Kesultanan Sulu kerana dia adalah anak kandung sultan terakhir di Sulu.
"Disebabkan banyak pulau di kepulauan Sulu, banyak kumpulan mengaku mereka adalah Sultan Sulu.
"Saya diberitahu oleh Muedzul- Lail Kiram mereka sendiri menolak pencerobohan di Sabah dan tidak boleh menuntut Sabah sebagai hak mereka. Dia juga tiada hasrat untuk melakukan tuntutan itu," jelasnya.
Tambah Muhammad Ridhwan, beliau mempunyai beberapa salinan slip pemberian dana kepada Muedzul-Lail Kiram yang diberi melalui bank tempatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130402/je_02/Muhammad-Ridhwan-ditahan-bawah-SOSMA#ixzz2PNfCyBxy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment