Monday, April 1, 2013

Bedah siasat mayat pengganas



Lahad Datu: Mayat seorang anggota kumpulan pengganas yang ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Batu, di sini, pada 6 Mac lalu, berjaya dikeluarkan pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, mayat itu menjadikan 46 daripada 68 mayat pengganas yang ditembak mati berjaya dikeluarkan sehingga kini.


“Mayat dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya pada sidang media Ops Daulat di Pusat Media Felda Residence Sahabat, di sini.

Hamza berkata, operasi pembersihan dan penggeledahan pihak berkuasa bagi menumpaskan saki-baki pengganas yang kini berpecah kepada kumpulan kecil diteruskan di Kampung Sungai Bilis dan Kampung Lok Buani.


Beliau berkata, pihaknya akan menutup pusat pemindahan sebaik semua lapan kampung yang sebelum ini diletakkan dalam zon merah bebas daripada pengganas.


Dalam pada itu, beliau berkata, Ops Daulat yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu tidak akan dihentikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ini kerana operasi ketenteraan itu tidak hanya membabitkan Lahad Datu, malah membabitkan kawasan lain, termasuk Semporna dan Sandakan.


“Ia bergantung kepada keadaan keselamatan di kawasan terbabit,” katanya.

Hamza berkata, sehingga hari ke-26 Ops Daulat, pasukan keselamatan menahan 126 individu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).


Angka itu termasuk isteri dan anak perempuan seorang pengganas dipercayai pembantu dan pengawal kepada imam tua, yang ditembak mati di Kampung Sri Jaya, Simunul, kelmarin.


Selain itu, katanya, operasi bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menyaksikan 443 ditahan mengikut akta lain.


Insiden pencerobohan pengganas yang mendakwa diri sebagai tentera Kesultanan Sulu sejak 12 Februari lalu, sehingga kini mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan. Seorang lagi anggota maut dalam kemalangan jalan raya ketika mengikuti konvoi ketika bertugas di Lahad Datu.

No comments:

Post a Comment