Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
ALOR SETAR - Pas Kedah menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dalang di sebalik insiden membabitkan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi ‘dikurung’ selama dua jam di sebuah sekolah agama di Yan, 16 Mac lalu.
Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihak lain tidak wajar campur tangan berikutan kes itu kini dalam siasatan polis.

“Polis sudah siasat. Biar polis buat kerja mereka. Siasatlah saya tak halang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah malas mahu melayan karenah segelintir ahli yang suka memperbesar-besarkan isu, kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita mahu hadapi PRU13 tidak lama lagi, ini keutamaan saya,” katanya.

Azizan berkata demikian bagi mengulas cadangan beberapa akar umbi dari Unit Peti Undi (UPU) Megat Dewa, Kuala Sanglang, Kampung Sanglang, Kandis dan Kampung Pering, kelmarin, yang mahu Pas Pusat menubuhkan jawatankuasa menyiasat insiden terbabit kerana
mencemarkan nama baik parti selain ia pertama kali berlaku dalam Pas Kedah.

Rabu lalu, Azizan menafikan beliau terlibat dalam kejadian itu apabila ada pihak cuba mengaitkan dirinya dengan insiden terbabit.

Pada 16 Mac lalu, Phahrolrazi dipercayai dikurung pihak tertentu bagi menghalang beliau mengadakan ceramah di Kampung Kabu, Sungai Limau.

Phahrolrazi yang juga Exco Kerajaan Negeri didakwa ‘dikunci’ selama dua jam di Sekolah Agama Nahdzah Bukit Besar, dalam perjalanan ke lokasi ceramah, yang merupakan kubu kuat Azizan.
Rentetan itu, Pemuda Gerakan Kedah membuat satu laporan polis berhubung kejadian pada 20 Mac, selain laporan polis oleh ahli Pas kawasan Sungai Limau pada 17 Mac.
Bagaimanapun, bekas pengetua sekolah itu, Nasir Othman menafikan dakwaan, sebaliknya menegaskan beliau hanya menasihati Phahrolrazi tidak hadir ke lokasi ceramah anjuran persendirian itu kerana bimbang berlaku kekecohan. 
Sementara itu, mengulas kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13, Azizan sependapat Pengerusi DAP, Karpal Singh, mereka mampu tawan lebih banyak negeri dalam PRU13, namun menyasarkan tambahan lima negeri.

Katanya, berdasarkan mood rakyat, pihaknya yakin hasrat itu mampu dicapai dan bukan angan kosong.

“Kami mahu tambah lima lagi, bukan empat. Mana-mana negeri boleh tapi jumlahnya biarlah lima,” katanya tanpa menamakan negeri yang bakal jatuh ke tangan PR.

Kelmarin, Karpal Singh berkata, PR yakin dapat mengekalkan kemenangan di empat negeri, iaitu Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, selain akan menawan semula Perak, serta merampas Perlis, Negeri Sembilan dan Johor.

Azizan berkata, sokongan rakyat terhadap PR sudah meningkat, namun pemimpinnya hendaklah bijak mengambil peluang itu melalui pendekatan berkesan.

“Kita sebagai wakil rakyat boleh baca pergerakan akar umbi dan mood rakyat, jadi kita tahu sejauh mana sokongan itu. Contohnya, dalam telaga ada banyak jenis ikan, tetapi terpulang pada kita untuk guna kaedah terbaik sama ada pancing, pukat, jala atau bubu,” katanya.