Gaza: Selain menjadi mangsa sasaran serangan tentera Israel, penduduk di bandar ini juga ada ketikanya tersepit dalam pertempuran dalaman yang berlaku di Palestin sendiri.
Natijah daripada pertempuran yang berlaku sesama sendiri itu turut mengorban atau mencederakan orang awam tidak berdosa.
Wartawan dan kumpulan sukarelawan Misi Perubatan Aman Palestin yang dibawa ke sebuah rumah golongan miskin terdiri daripada pelarian Palestin di perkampungan Khanyouni berkesempatan bertemu Hussein Arafat Abu Ghali, 16, antara individu yang menjadi mangsa pertempuran berkenaan.
Menurut Hussein, pertempuran antara kumpulan Fatah dan Hamas pada 1998 tidak akan dapat dilupakannya.
“Dalam pertempuran itu saya antara yang cedera apabila mata kanan terkena serpihan peluru. Ketika itu saya baru berusia sembilan tahun,” katanya yang hanya sedar ketika berada di hospital dan mengalami kesakitan teramat sangat.
Mengimbau detik hitam itu, Hussein berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, dia dalam perjalanan ke sekolah.
“Tiba-tiba mata kanan saya sakit bagaikan dicucuk benda tajam sebelum saya rebah tidak sedarkan diri,” katanya yang cuba melupakan kejadian itu tetapi gagal kerana matanya kini tidak dapat berfungsi dengan sempurna.
Katanya, dia bagaimanapun bersyukur kerana terselamat selain diberi bantuan perubatan oleh kerajaan Palestin untuk merawat mata kanannya itu.
Dalam lawatan berkenaan, Ketua Delegasi Misi Perubatan Aman Palestin, Uztaz Anas Abdul Wahab turut menyampaikan sumbangan wang bagi meringankan beban Hussein yang sudah kematian bapa.
“Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban ditanggung keluarga Hussein,” katanya.
Menurut Anas, selepas kematian bapa, Hussein dan enam lagi saudaranya kini bergantung harap kepada ibunya, Najah Abu Lahali bagi membesarkan mereka.
No comments:
Post a Comment