KELANTANGAN bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari menyuarakan bantahan serta kritikan terhadap Malaysia berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan rakyat di negara ini.
Ramai pihak mempersoalkan campur tangan Misuari dalam konflik di Sabah dan kenyataannya menyokong ketua penggans Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu menceroboh Sabah.
Kenyataan-kenyataannya itu jelas menggambarkan satu tindakan daripada seorang pemimpin yang gagal, kecewa dan dipinggirkan, bukan sahaja oleh masyarakat antarabangsa tetapi juga oleh kerajaan Filipina dan juga oleh bangsanya sendiri - BangsaMoro.
Kenyataan-kenyataannya juga jelas menunjukkan perasaan cemburunya terhadap kejayaan seterunya dalam Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang diketuai Murad Ebrahim mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina, baru-baru ini.
Tindakan pengasas MNLF itu jelas sekadar mahu menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan BangsaMoro, serta cuba menebus kegagalannya membawa kemajuan di Mindanao, ketika menjadi gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di selatan Filipina selepas mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 1996.
Perjuangan Misuari bersama MNLF mula dipertikaikan apabila beliau secara rasmi menggugurkan tuntutan kemerdekaan Mindanao dalam Perjanjian Tripoli I pada 1976, sekali gus menunjukkan kegagalannya memperjuangkan nasib Bangsamoro di selatan Filipina.
MNLF di bawah pimpinannya mula mengalami perpecahan pertama pada 1976 apabila satu kumpulan dalam MNLF diketuai Hashim Salamat menubuhkan MILF dan perpecahan MNLF kali kedua berlaku pada 1991, apabila Khadaffy Janjalani pula menubuhkan kumpulan Abu Sayyaf.
Namun dengan sokongan Arab Saudi dan Libya, Misuari bijak mengambil kesempatan untuk menaikkan semula reputasinya apabila beliau sebagai pengerusi MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Fidel Ramos pada 1990-an.
Justifikasi perdamaian itu membolehkan Misuari dilantik sebagai Gabenor ARMM dari 1996 hingga 2002.
Sepanjang tempoh enam tahun bertugas sebagai Gabenor ARMM ketiga, pentadbiran Misuari diselubungi pelbagai kontroversi termasuk isu rasuah, nepotisme dan salah tadbir.
Malah dana yang disalurkan kerajaan Filipina tidak digunakan untuk pembangunan di Mindanao, meski pun banyak projek dalam kertas kerja ARMM telah diluluskan.
Ada laporan menyebut, banyak pelaburan daripada Malaysia juga lesap tanpa dikesan.
Bagi menyembunyikan kegagalannya memerintah ARMM, Misuari kembali melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Filipina di Jolo, Sulu pada November 2001, selepas kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo melucutkan jawatannya sebagai Gabenor ARMM.
Misuari menghadapi tamparan hebat kali ini, apabila kerajaan Arab Saudi dan Libya dengan tegas menyatakan pendirian tidak mahu lagi membantu Misuari kerana menyifatkan konflik yang berlaku antara MNLF dan Filipina ketika itu merupakan isu dalaman negara terbabit.
Dendam Misuari terhadap Malaysia dikatakan bermula apabila kerajaan Malaysia menangkapnya dan menyerahkannya kepada kerajaan Filipina untuk dibicarakan atas kesalahan melakukan keganasan selepas beliau melancarkan pemberontakan dan melarikan diri dari negara itu.
Pasukan keselamatan Malaysia menangkap Misuari di perairan Sabah kerana memasuki negara ini secara haram.
Beliau cuba menggunakan nama beberapa anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mengiktiraf MNLF sebagai badan pemerhati OIC, untuk memburukkan nama Malaysia kerana tidak memperjuangkan nasib umat Islam di Mindanao.
Namun taktik meraih simpatinya itu menemui kegagalan selepas duta negara-negara terbabit menafikan dakwaan Misuari.
Sejak itu, Misuari dilihat bersungguh-sungguh menuntut Sabah sebagai hak Kesultanan Sulu dan mencemburui kejayaan MILF dan kerajaan Filipina yang baru-baru ini, menandatangani rangka pelan damai, hasil usaha sama kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaik-baik sahaja perjanjian MILF- Manila ditandatangani, Misuari dengan lantang mengeluarkan kenyataan provokasi yang menyatakan perjanjian tersebut hanya akan mencetuskan lagi perang yang lebih besar.
Sikap itu jelas menunjukkan kekecewaan Misuari apabila beliau tidak dapat mencapai kejayaan seperti yang diperoleh pemimpin MILF untuk mewujudkan wilayah autonomi Islam yang lebih baik daripada pimpinannya sebelum ini.
Tidak hairanlah jika Misuari terus membabitkan dirinya dalam isu pencerobohan di Lahad Datu kerana ingin membalas dendam terhadap Malaysia yang menjayakan rundingan damai antara MILF dan Filipina.
Jika Misuari benar-benar ikhlas untuk mewujudkan wilayah Islam yang berdaulat, kenapa beliau tidak menyokong perjanjian damai antara MILF dan kerajaan Filipina yang ketika ini telah mencapai satu tahap yang lebih baik untuk merealisasikan impian BangsaMoro.
Sebaliknya, Misuari dilihat cuba mencari jalan untuk menggagalkan usaha damai tersebut dan menjadikan isu tuntutan Sabah sebagai batu loncatan untuk menaikkan semula reputasinya sebagai pemimpin MNLF yang disegani.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130401/lu_10/Nur-Misuari-pemimpin-yang-gagal#ixzz2PBwWMGeQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment