Monday, April 1, 2013

Penduduk Britain bantah 'cukai bilik tidur'



LONDON 31 Mac - Kira-kira 4,000 penduduk Britain mengadakan demonstrasi di jalan-jalan utama di sini semalam, bagi membantah pelaksanaan cukai ke atas rumah-rumah yang mempunyai bilik tambahan.
Menurut polis, kira-kira 3,000 penduduk berhimpun di Dataran George di Glasgow, manakala hampir 1,000 lagi berkumpul di luar bangunan Parlimen Scotland di Edinburgh.
Penunjuk perasaan menyatakan bahawa polisi baharu yang digelar sebagai 'cukai bilik tidur' itu, akan memberi kesan kepada orang kurang upaya dan wanita serta mampu membawa kepada pengusiran dan kematian.
Cukai itu turut mengakibatkan seramai 660,000 isi rumah kerugian secara purata 14 pound (RM65.40) seminggu, lapor pusat kebajikan untuk golongan gelandangan Britain, Crisis.
Difahamkan, rancangan cukai itu disasarkan terhadap mereka yang menyewa rumah majlis perbandaran atau perumahan persatuan dan bukannya ke atas hartanah persendirian.
Aktivis Bill Scott daripada kumpulan kempen hilang upaya, Inclusion Scotland berkata, dua pertiga daripada hartanah Britain melibatkan sebuah rumah orang kurang upaya, sementara di Scotland jumlah itu meningkat kepada empat perlima.
"Amat memalukan apabila kerajaan memilih untuk menjadikan orang kurang upaya sebagai sasaran,'' katanya.
Sementara itu, penunjuk perasaan menjadikan Setiausaha Kerja dan Pencen Britain, Iain Duncan Smith sebagai mangsa kemarahan mereka dalam demonstrasi tersebut dengan memakai baju dan mempamerkan pelekat yang tertulis 'ratbag' yang merujuk kepadanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130401/lu_12/Penduduk-Britain-bantah-cukai-bilik-tidur#ixzz2PBwNPIc5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment